Jelajah Penerangan UMNO Diteruskan Ke UMNO Bahagian Titiwangsa Hari Ini

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan misi memberi penjelasan isu-isu semasa kepada ahli akar umbi UMNO Bahagian Titiwangsa hari ini.

Bertempat di Auditorium Menara Dato Onn, di sini, siri jelajah ini yang dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said menampilkan Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim sebagai penceramah utama.

Hadir utama Naib Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Zulkifli Zainuddin; Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Datuk Shamsul Bahari Abdul Aiziz; Ketua Pemuda, Mohd Fitri Che Ree.

UMNO Bahagian Titiwangsa merupakan bahagian pertama siri jelajah diadakan selepas ia ditangguhkan seketika bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada hujung September lalu.

Sebelum PRK, Jelajah Penerangan UMNO telah diadakan di UMNO Bahagian Rompin termasuk di Sabah iaitu Kalabakan, Beaufort dan Kimanis.

Jelajah Penerangan UMNO bertujuan untuk memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Pelbagai pengisian dan sesi penerangan disediakan oleh pihak Penerangan UMNO Malaysia dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi berdepan senario politik yang dinamik hari ini.

Ia juga sebagai persediaan dan persiapan jentera parti khususnya Penerangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.