PRK Mahkota: Tiada Janji Bulan Dan Bintang, Maju Johor Jadi Sandaran Syed Hussien

KLUANG, 23 Sept – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah mengakui tidak menjanjikan bulan bintang kepada rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) namun akan mengaplikasi agenda Maju Johor yang telah dibawa kerajaan negeri.

Katanya ini kerana, tempoh penggal ini sudah berbaki dua tahun sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) mengambil tempat selepas tempoh matang.

“Sekiranya kalau ada orang tanya dengan saya soal manifesto, penggal ini ada tinggal dua tahun sahaja, selepas ini kita akan menuju kepada PRN.

“Sebagai calon yang mengangkat parti yang mulia ni, mana mungkin saya nak berjanji bulan dan bintang untuk penduduk-penduduk semua.

“… kerana kita perlu selaraskan aspirasi besar kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat. Ini yang perlu kita hasilkan kerana apa yang ada dalam agenda Johor Maju dan juga Madani ini adalah menyeluruh,” katanya.

Syed Hussien berkata demikian pada pertemuannya bersama jentera di pusat daerah mengundi (PDM) Taman Kerjasama di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata, antara perkara menjadi tumpuan membabitkan ekonomi, kebajikan, pendidikan daripada untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut beliau lagi, konteks Maju Johor 2030 menjadi pegangan beliau dalam menyampaikan fokus kerajaan negeri kepada rakyat di kawasan ini.

“Maka apa yang perlu jual adalah produk negeri kita, sebagai orang parti kita buat marketing. Kalau tak boleh jual saya, jual Menteri Besar Johor.

“Kalau tak boleh jual Menteri Besar Johor, jual agenda Maju Johor. Itu yang lebih penting. Soal mengenai banjir apa semua ini semua tertakluk.

“Kita ada rancangan tabatan banjir itu sudah ada dalam agenda Maju Johor. Kerana semua di dalam agenda Maju Johor ni telah menggunakan perkara-perkara yang diperlukan oleh rakyat negeri Johor itu sendiri “ ujar beliau.

Syed Hussien yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mampu bertutur dalam bahasa Mandarin.

Beliau pada PRN ini akan berdepan saingan dua penjuru dengan calon Perikatan Nasional, bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut selepas mantan ADUN Allahyarham Datuk. Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia pada Ogos lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.