Ahmad Zahid Yakin Masyarakat India Teguh Bersama BN

KLUANG, 23 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa kebersamaan dan sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat India terhadap adalah tetap teguh bersama Barisan Nasional (BN).

Ujar beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, hal ini dapat dilihat ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India yang diadakan sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota malam tadi.

“Saya menegaskan bahawa BN sentiasa menyantuni para pengundi tidak mengira agama, kaum dan kelompok dengan menawarkan usaha dan upaya untuk memastikan nasib mereka terbela.

“BN juga telah membuktikan bahawa pendekatan suara sederhana yang dibawa telah berjaya mewujudkan kestabilan, menjamin keamanan dan mengekalkan keharmonian yang dinikmati oleh masyarakat Malaysia termasuk masyarakat India,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Beliau juga yakin, seramai lebih 5,000 orang pengundi masyarakat India di sini akan memberikan kemenangan kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah yang akan membawa suara rakyat Mahkota ke DUN Johor agar Kluang terus maju dan makmur.

“Insya-Allah, bersama-sama Kerajaan Perpaduan, kita akan terus melaksanakan dasar-dasar yang memastikan kesejahteraan semua rakyat bukan hanya untuk generasi hari ini, tetapi juga untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi; Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

PRK DUN Mahkota, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussein dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.