PRK Mahkota: Tak Perlu Teragak-agak Pilih BN, Kekal Bersama Kerajaan Negeri – Manndzri

KLUANG, 23 Sept – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Katanya ini kerana penting untuk wakil rakyat sesebuah kawasan mempunyai ideologi yang sama dengan kerajaan negeri.

Menurut beliau apatah lagi apabila pelbagai agenda telah disediakan Menteri Besar Johor. Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya rasa masyarakat di sini sebenarnya tak perlu teragak-agak ataupun fikir dua kali sebab kerajaan yang ada ini di bawah pimpinan Menteri Besar sedang memacu Maju Johor.

“Maju Johor dalam dua tahun pentadbiran tengah berjalan, dengan kemenangan di Mahkota ni akan memberikan lagi ruang kepada kawasan ini sendiri untuk meraih manfaat daripada aspirasi Maju Johor tu.

“Ahli Parlimen Kluang juga daripada perpaduan, jadi gandingan Persekutuan dan negeri ni akan menjadikan DUN Mahkota ni lebih baik daripada segi pembangunannya.

“Dan saya faham pun kat sini ada masalah banjir dan sebagainya. Mungkin dengan pengurusan-pengurusan dan kemenangan yang lebih signifikan oleh Syed Hussien Syed Abdullah ni di DUN Mahkota dia akan membawa lagi kebaikan di kawasan DUN Mahkota ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu berkata calon yang diketengahkan BN, Syed Hussien Syed Abdullah mempunyai kekuatan tersendiri selain dilihat sebagai anak muda yang memiliki idea segar dalam mengekalkan kemajuan di kawasan ini.

Katanya ini berbeza dengan calon yang diketengah Perikatan Nasional (PN) termasuk faktor umur yang lebih berusia.

“Jadi orang boleh buat perbezaan itu senang termasuk daripada segi bakat yang kita ketengahkan.

“Malah dapat lihat betapa komited BN untuk mengangkat pimpinan-pimpinan muda.

“Ini dipanggil reformasi pada parti kami ni untuk mengetengahkan calon muda,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussein, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.