PRK Mahkota: Jentera Wanita Akan Pastikan Sokongan Diterjemah Dalam Bentuk Undi

KLUANG, 22 Sept – Perkara paling penting bagi setiap kempen pilihan raya adalah sokongan yang diterjemahkan dalam undi yang diperoleh, ujar Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang memasuki minggu kedua kempen, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata gerak kerja jenteranya melalui Jalinan Rakyat (JR) telah bermula sejak awal dan dalam fasa mengorak langkah selanjutnya.

“Sekarang ini apa yang kita laksanakan ulangi (berjumpa) pengundi-pengundi dalam usaha mendekati mereka. Kita hendak akhirnya mereka yang kita jumpa itu memberi undi kepada Barisan Nasional. Undi sangat penting sebab kalau kita pergi ramah mesra dengan mereka tetapi tidak keluar mengundi, ia tidak memberi manfaat kepada Barisan Nasional.

“Itu yang kita pastikan bahawa jentera kita pergi ke akar umbi. Bagi yang tak nak balik kalau berpihak kepada kita, kita minta dan pujuk supaya balik (mengundi)… yang tempatan bagaimana usaha yang dilaksanakan sekiranya dia bersama dengan kita, kita minta dia keluar mengundi,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat itu kepada UMNO Online.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu minggu lalu dan pengundian awal pada 24 Sept manakala hari pengundian pada 28 Sept.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Seterusnya Noraini menghargai peranan semua jentera yang bertungkus-lumus sepanjang kempen PRK ini bagi memastikan BN mengekalkan kemenangan di DUN Mahkota.

“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada jentera-jentera wanita terutamanya, jentera keseluruhan juga membantu yang tanpa penat lelah sentiasa turun akar umbi mendekati rakyat, pengundi supaya berpihak kepada Barisan Nasional.

“Bukannya mudah terutama apabila mereka mahu mendekati orang yang tidak kenal, tetapi terus dilaksanakan oleh jentera wanita dengan usaha bertambah ‘bukan biasa-biasa’.

“Jangan anggap bahawa kita boleh menang begitu sahaja… tidak boleh, kita tidak boleh selesa… kita kena berusaha pastikan bahawa pengundi-pengundi mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya,” jelasnya.

Begitu juga Noraini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan parti Perpaduan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam membantu BN.

“Kita tidak ada masalah, memang kita bergerak sekali, ada kawasan tertentu di bawah jagaan mereka… ada kawasan tertentu di bawah kita.

“Kerjasama memang ada dan kita mengucapkan ribuan terima kasih semua jentera parti-parti Perpaduan terutamanya termasuk dalam komponen Barisan Nasional sendiri yang mempunyai empat parti, termasuk dari Sabah turun membantu dan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH),” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.