PRK Mahkota: Gambaran Di Atas Kertas Bukan Tiket Ambil Mudah Gerak Kerja
KLUANG, 22 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menasihatkan jentera agar jangan berasa selesa hanya berdasarkan gambaran di atas kertas Barisan Nasional (BN) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Mahkota.
Katanya, semua pihak perlu berganding bahu berusaha dengan lebih keras bagi memastikan kemenangan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah pada 28 Sept ini dan secara langsung mempertahankan kerusi hak milik parti itu.
“Kita tidak mahu potensi kemenangan menjadi sebab untuk tidak bekerja keras. Mana-mana pilihan raya sekalipun kita tidak boleh ambil mudah walaupun atas kertas kita boleh menang.
“Kita harapkan komitmen yang sama malah lebih tinggi dapat disaksikan di DUN Mahkota ini kerana kita mempertahankan kerusi yang kita ada. Proses mempertahankan ini lebih berat daripada kita nak merampas semula, sebab pertahankan itu maruah kita.
“Jadi saya tidak mahu mana lapisan jentera sekalipun untuk merasa selesa dengan gambaran yang kita dapat menerusi kemenangan atas kertas,” katanya kepada UMNO Online.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.
BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.
Tambah Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, BN bukan sahaja mempertahankan kerusinya di Mahkota, bahkan mempertahankan kekukuhan Kerajaan Negeri Johor.
“Kita bukan setakat mempertahankan DUN Mahkota tetapi kita mempertahankan Kerajaan Negeri Johor yang didominasikan oleh Barisan Nasional.
“UMNO bermula di Johor dan kita nak Johor menjadi contoh kepada pentadbiran cemerlang Barisan Nasional untuk kita teruskan perjuangan masa akan datang, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE