Pilih Syed Hussien Untuk ‘Yang Berkhidmat, Kekalkan Politik Matang Bersama BN – Dr Akmal

KLUANG, 21 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh memaklumkan bahawa fasa pertama dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota telah berlangsung lancar dan penerimaan masyarakat terhadap calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah sangat positif.

Justeru katanya, masyarakat setempat khususnya pengundi tidak perlu ada kesangsian bagi memilih calon BN pada hari pengundian 28 Sept nanti.

“Kita nampak kesan yang sangat-sangat positif, penerimaan masyarakat terhadap calon kita sangat-sangat baik… semua mengatakan calon ini dah lama berkhidmat, latar belakang keluarga pun memang dah lama berkhidmat.

“Jadi tidak ada kesangsian lagi… calon tiada isu, alhamdulillah dan kempen kita tak burukkan orang lain, kita tak burukkan pihak lawan kerana apa yang kita buat adalah kita beri tahu idea kita, itu pertama.

“Yang kedua, kita beri tahu apa yang kita nak buat, kita nak tengok macam mana peluang ini ataupun Mahkota ini dimajukan bawah Kerajaan Negeri Johor pimpinan Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi dan kita tunjukkan bahawa sebenarnya kita bukan nak cari yang berhormat tetapi adalah ‘yang berkhidmat’,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikia selepas menyertai pertandingan bola sepak menentang pilihan artis jemputan tanah air dalam Program Jelajah Orang Mahkota (JOM) & XTIG Johor Orang Muda Kluang di sini, semalam.

Ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Syed Hussien adalah calon terbaik bagi menjadi wakil rakyat di DUN Mahkota.

“Kita nak mencari ‘yang berkhidmat’ jadi insya-Allah, Syed Hussein adalah material yang berkhidmat sebab dia ada bukti… jadi insya-Allah, 28 haribulan ini kita kena usaha dan insya-Allah rakyat akan berikan kepercayaan kepada beliau.”

Namun begitu Dr Akmal mengingatkan anggota jentera agar tidak terlalu selesa sebaliknya perlu terus bekerja.

“Jangan terlalu selesa, betul memang penerimaan baik tapi jangan terlalu selesa kerana kita kena ingat apa yang berlaku di DUN Nenggiri dulu apabila pihak lawan mengatakan dia boleh menang tiga ribu (undi) namun kerana kita sunguh-sungguh kerja akhirnya kita yang menang dua ribu.

“Politik ini ‘the game of number’, dia boleh bertukar bila-bila masa jadi sebab itu saya kata jentera jangan kendur semangat tapi teruskan bekerja dan insya-Allah 28 haribulan, pukul 9 malam… insya-Allah, Allah akan berikan kemenangan kepada BN.”

Berkaitan perkembangan kempen, beliau memaklumkan bahawa BN sentiasa mengamalkan politik matang.

“Sudah tentu sebenarnya kita telah dah mulakan kempen politik matang ini dah lama dah. Kita tengok di Nenggiri, BN langsung tak sentuh peribadi calon kerana kita berkempen dengan matang.

“Saya percaya hari ini rakyat rata-rata dah jemu dengan poitik iaitu tak mahu orang politik kutuk sana, kutuk sini kerana rakyat nak tengok apa yang orang politik ataupun calon ini boleh buat untuk mereka.

“Jadi sudah tentu apabila kita berikan tawaran maka kita mahukan sokongan ‘convert’ kepada undi di kertas.”

Ini kerana katanya, Mahkota perlu terus dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Johor apatah lagi Johor adalah antara kerajaan negeri yang berdaya saing iaitu dari segi ekonomi antara yang tertinggi dan dipimpin oleh yang menteri besar yang termuda.

“Jadi sudah tentu hari ini Mahkota perlu diteruskan momentumnya agar tidak ketinggalan dari segi aspek yang penting,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.