Maju Johor: “Kita Berjuang Di Mahkota, Agar Pembangunan Makin Bertambah”

KLUANG, 21 Sept – “Pergi Kluang mencari berita, kisah minuman kopi muhibbah, kita berjuang di Mahkota, agar pembangunan makin bertambah.”

Demikian rangkap pantun yang dinukilkan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Maslan sempena kempen pilihan raya di kawasan itu.

Kata Ahmad, kemenangan BN di Mahkota amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu khususnya dan seluruh Kluang amnya serta seterusnya selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030 di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Oleh kerana itu tegas Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, tiada faedah bagi pengundi di DUN Mahkota memilih Perikatan Nasional (PN) kerana boleh merencatkan pembangunan yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri Johor serta pusat.

“Kita ingin mengingatkan pengundi di Mahkota bahawa tidak ada faedah mengundi pembangkang ini. Kita sebagai kerajaan di Parlimen Kluang, DUN Mengkibol, di negeri Johor dan di Malaysia (Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat) Putrajaya, mengapa pula tiba-tiba Mahkota nak berlainan daripada ‘trend’ sokongan itu?,” kata Ahmad kepada UMNO Online.

Agenda Maju Johor dilancarkan oleh kerajaan negeri pada 2022 sebagai inisiatif untuk merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030 yang antara lain menyentuh urus tadbir kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, kebersihan dan kelestarian alam serta golongan muda.

Mengulas mengenai peluang BN mengekalkan kemenangan di DUN Mahkota, Ahmad berpesan kepada jentera agar jangan terlalu selesa dan terus berusaha dengan gerak kerja yang sebaiknya.

“Kita (mempunyai) beberapa lapisan jentera. Jentera bahagian Kluang, bahagian angkat negeri Johor dan negeri-negeri.

“Jadi kita terus menggerakkan jentera ini dan kita jangan alpa, terlalai kerana mereka (pembangkang) juga bergerak dengan cara mereka, kita bergerak dengan cara kita. Dan akhirnya yang penting ialah pastikan kemenangan di tangan kita untuk menambah kemajuan,” tambahnya.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.