Undilah BN Demi Kestabilan Politik, Realitikan Maju Johor Untuk Semua – Norshida

KLUANG, 21 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Norshida Ibrahim menekankan pentingnya Barisan Nasional (BN) kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini adalah bagi memastikan agenda Maju Johor dapat diteruskan di sini.

Katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Maju Johor ini adalah asas kepada orang Johor.

“Ini adalah untuk Johor berkemajuan iaitu supaya lebih relevan dengan keseluruhan masyarakat dalam Johor ini dapat membawa slogan tersebut dengan sebaiknya iaitu Maju Johor yang disambut baik oleh semua masyarakat tak kira bangsa,” katanya.

Dilaporkan, Kerajaan Negeri Johor di bawah teraju menteri besarnya, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi telah merangka visi agar Johor bukan sahaja perlu maju dari segi ekonomi dan infrastrukturnya malah mestilah maju secara holistik iaitu rakyatnya juga perlu maju dari segi pemikiran, peradaban, ketamadunan, ilmu, perwatakan, adat resam, nilai-nilai murni, jati diri dan sahsiah modal insan.

Justeru, ujar Norshida menerusi tempoh kempen PRK DUN Mahkota ini diingatkan bahawa anggota jentera parti sentiasa menyantuni pengundi dan membawa satu mesej yang baik atas nama UMNO/BN.

“Kita dah hampir ke minggu yang kedua dan Wanita serta kepimpinan parti pelbagai peringkat sentiasa beriltizam menjejaki pengundi dan memastikan mereka dibawa pulang.

“Walaupun kita lihat cabaran ada, lebih-lebih lagi kepada pengundi luar untuk kita bawa balik tetapi kita yakin dengan kempen yang sedia ada ini maka kita akan berjaya,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya, anggota jentera parti memainkan peranan bukan sahaja meraih sokongan pengundi tetapi juga membawa satu signal yang baik kepada seluruh masyarakat di Mahkota ini.

“Kepada jentera saya nasihatkan supaya jaga tenaga dan lebih bersemangat untuk kita menghadapi sisa hari-hari mendatang dalam baki kempen ini.

“Kepada pengundi saya minta supaya bijak memilih siapa yang boleh mentadbir kita, jangan lihat kepada omong-omong kosong yang mungkin tidak boleh menjadi satu kenyataan ataupun jadi satu realiti untuk dia tunaikan tetapi kita fikirkan demi kemasyarakatan dan demi anak cucu kita pada masa akan datang.

“Undilah Barisan Nasional demi kestabilan politik,” katanya lagi.

Terdahulu beliau telah menyertai bacaan Yasin dan doa selamat anjuran Persatuan Ibu Tunggal Daerah Kluang, Jumaat.

PRK DUN Mahkota pada 28 Sept ini, menyaksikan pertembungan antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,168 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.