Jalaluddin Yakin Keberkesanan Sistem Kempen, Gerak Kerja Tersusun Pasti Membuahkan Kejayaan
KLUANG, 20 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias yakin keberkesanan sistem kempen dan gerak kerja yang tersusun dalam menghadapi pilihan raya pasti akan membuahkan kejayaan.
Mengambil contoh terbaharu sebelum ini kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Jalaluddin berkata keputusan yang sama juga akan mampu diperolehi di DUN Mahkota.
“Kita sudah belajar dalam banyak siri PRK yang kita pergi, terutama terbaharu kita mencipta kejayaan yang luar biasa di DUN Nenggiri. Walhal DUN Nenggiri itu pada mulanya calon UMNO adalah calon ‘underdog’, calon yang dikatakan tidak mungkin kita akan menang tetapi akhirnya kita mencipta satu kejayaan.
“Apabila gerak kerja, sistem kempen, penjelasan dan paling penting kita temui setiap pengundi yang berada dalam DUN berkenaan kita boleh mencipta kejayaan, apatah lagi di DUN Mahkota,” katanya kepada UMNO Online, baru-baru ini.
Jelas Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu lagi, walaupun di atas kertas BN mampu mengekalkan kemenangan di DUN Mahkota ini tetapi ia mestilah digandingkan bersama dengan usaha-usaha yang lebih baik.
“Sifir kita atas kertas tidak mungkin kita tewas di DUN Mahkota. Tetapi ini bukan satu jaminan bahawa kita akan terus menang dengan sifir yang berkenaan tanpa usaha-usaha dan gerak kerja yang lebih tersusun untuk kita hadapi pada 28 haribulan nanti.
“Kerana itu sistem kempen kita harus sama, lipat gandakan lagi kemungkinan dalam soal geopolitik di sini geografi pengundi agak berbeza sedikit. Kita banyak gunakan viraliti media sosial supaya semua informasi ini sampai ke mata telinga setiap pengundi kita.
“Penjelasan kena buat sejelas-jelasnya dan yang penting apabila gerak kerja tersusun, bantuan, sokongan semaksima kita berikan, insya-Allah kita mencipta kejayaan sekali lagi malah saya yakin kita akan dapat juga kejayaan yang luar biasa seperti kita lakukan di DUN Nenggiri, insya-Allah,” katanya lagi.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu, pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.
Barisan Nasional (BN) mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon.
Jalaluddin turut bersyukur jentera parti telah siap sedia dan berusaha keras bagi memastikan kemenangan BN.
“Alhamdulillah persiapan jentera kita kemas dan akan dilipat gandakan semua gerak kerja ke arah memperkukuhkan aras sokongan pengundi-pengundi kita kepada calon Syed Hussien untuk diberikan kemenangan yang luar biasa pada 28 haribulan nanti, insya-Allah,” katanya.
Ulasnya juga, jentera parti perlu memberi perhatian serta menangkis segala isu yang ditimbulkan pihak lawan terutama berkaitan dengan salah faham dan persepsi terutama pengundi Melayu terhadap perjuangan UMNO dan terhadap perkara-perkara yang berlaku dalam tempoh masa yang terdekat.
“Saya sudah memberikan petua kempen dan perjuangan kepada rakan-rakan jentera kita untuk memberikan penjelasan demi penjelasan kepada semua pengundi terutama pengundi daripada orang Melayu dan orang Cina perkara tentang peri pentingnya untuk kita berikan kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional pada 28 haribulan nanti,” katanya.
Manakala menyentuh mengenai pemilihan Syed Hussien sebagai calon BN, Jalaluddin berkata UMNO Negeri Sembilan amat bersetuju dengan keputusan BN Negeri Johor itu.
“Kerana selain calon ini mempunyai kewibawaan, mempunyai penampilan dan pemikiran yang jauh ke hadapan untuk menjadi wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk tempoh lima tahun akan datang, saya yakin dengan keistimewaan yang ada pada calon ini boleh bercakap dalam Bahasa Mandarin, Tiong Hwa dan ini merupakan satu kelebihan yang ada pada calon kita terutamanya ketika waktu selepas PRK nanti.
“Selepas diberi kemenangan untuk beliau berhubung secara terus dengan orang Melayu, orang Cina dengan mengunakan bahasa ibunda mereka. Saya yakin ini adalah satu kelebihan yang harus digunakan sepenuhnya oleh pengundi dan masyarakat di sini untuk (Syed Hussien) memberikan perkhidmatan selepas beliau diberikan kemenangan pada 28 haribulan nanti, insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE