PRK Mahkota: ‘Annuar Musa Jangan Main Sentimen Murahan Untuk Tagih Undi’

KLUANG, 19 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin kesal dengan tindakan Tan Sri Annuar Musa yang acap kali memainkan sentimen murahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Katanya, terkini berkenaan satu majlis tahlil khas yang kononnya akan diadakan dengan kerjasama keluarga Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang sengaja dimuat naik oleh Annuar melalui hantaran Facebook.

“Saya pun tak faham jugalah dengan Annuar Musa lepas satu-satu dia buat ini provokasi. Maksudnya kalau betul dia nak buat pun janganlah putar fakta.

“Tapi tak perlulah menipu fakta, mengatakan bahawa keluarga tahu dan akan buat sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada tayangan skrin besar anjuran Pemuda UMNO Pahang sempena perlawanan Johor Darul Ta’zim menentang Shanghai Port pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 malam tadi.

Mengulas lanjut Shahaniza yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang berkata, tindakan tersebut sudah dapat dijangka kerana ia sebagai agenda Annuar Musa untuk menagih sokongan pengundi.

“Nampak sangat ada agenda tak ikhlas. Kenapa dia mesti sebut keterlibatan keluarga arwah?

“Kalau tidak kerana dia nak menunjukkan kepada rakyat, khususnya kepada pengundi bahawa keluarga arwah ni seolah-olah bersama dengan Perikatan Nasional.

“Jadi itu satu taktik murahanlah kepada saya dan tak seharusnya berlaku,” ujar beliau.

Terdahulu, anak sulung kepada Allahyarham Sharifah Azizah mempersoalkan kenyataan Annuar Musa berkenaan satu majlis tahlil khas yang akan diadakan dengan kerjasama keluarga Allahyarham.

Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar menegaskan, perkara tersebut tiada dalam pengetahuannya dan keluarga.

Dalam pada itu bercakap berkenaan kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ini Shahaniza berkata sebagai MKT angkat di PDM Dorset segala gerak kerja kempen dilaksana dengan baik, terutama dalam mendekati pengundi.

“Jentera tersusun jadi tidak ada masalah. Bahagian angkat Iskandar Puteri dan Pasir Budang, negeri angkat Pahang yang diselaraskan oleh Ketua Wanita Negeri, Norhasmimi Abdul Ghani.

“Gerak kerja awal itu telahpun dijalankan dan sedang berjalan. Contohnya pacaba cabarannya dah pun siap, tunggu hari kejadian saja nak bertugas manakala poster, pemuda, kenderaan, jalinan rakyat (JR) semua telahpun disusun gerak kerja dengan baik sekali,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK ini menyaksikan satu lawan satu di antara calon BN, Syed Hussein, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.