SUA Berpuas Hati Kesungguhan Jentera Untuk Pastikan Kemenangan BN Di Mahkota
KLUANG, 19 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk daripada parti-parti Perpaduan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ini.
Kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, jentera tempatan mahupun angkat memperlihatkan kesungguhan dalam mendampingi seramai mungkin pengundi tanpa mengira kecenderungan politik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti.
“Secara umumnya saya amat berpuas hati dan amat berterima kasih kepada seluruh jentera yang bekerja kuat sepertimana pengalaman kita di Nenggiri. Mahkota ini mereka juga mengambil pendekatan yang hampir serupa.
“Fokus kita adalah ‘man to man marking’, kita tidak meninggalkan walau seorang pun pengundi. Saya dapat lihat jentera tempatan berserta bahagian angkat dari Johor dan negeri angkat turun rumah ke rumah.
“Hari ini contohnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 1 ini, saya melihat pendekatan mereka dan saya turun sendiri ke beberapa rumah dan saya dapat melihat kesungguhan jentera Barisan Nasional khususnya UMNO memfokuskan pengundi-pengundi tanpa mengira mereka ini latar belakangnya bagaimana,” katanya kepada UMNO Online.
Dr Asyraf ditemui selepas beliau mengadakan ‘walkabout’ dari rumah ke rumah di sekitar PDM Kampung Melayu 1, yang turut disertai jentera tempatan dan angkat.
Seterusnya, Dr Asyraf menyarankan kepada jentera agar dapat mendampingi pengundi yang dilihat tidak berpihak kepada parti dan berusaha memujuk mereka mengundi BN pada 28 Sept nanti.
“Dan itu juga yang saya sarankan kalau pun ada mereka yang kita kenal tidak berpihak kepada kita, kita harus damping mereka kerana paling penting kita berusaha memujuk mereka.
“Saya percaya, insya-Allah kalau kita mengambil pendekatan di Nenggiri dulu kita tidak meninggalkan walau seorang… insya-Allah kerana hati ini yang menentukan adalah Allah. Kita kena ikhtiar dan kena berusaha,” kata Dr Asyraf lagi.
Berhubung perkara yang sama, Dr Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan melihat kesungguhan serta keikhlasan jentera daripada parti-parti Perpaduan membantu BN.
“Saya nampak luar biasa sedikit kali ini berbanding pengalaman kita di Pelangai. Kita dapat lihat jentera Perpaduan khususnya daripada parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) terutamanya, mereka kali ini amat bersungguh-sungguh.
“Mungkin juga mereka merasakan keikhlasan jentera UMNO dan Barisan Nasional ketika di Kuala Kubu Bharu, di Sungai Bakap kita membantu mereka secara ‘all out’ termasuk juga di Simpang Jeram dan Pulai. Hikmah yang paling besar kita boleh lihat bahawa semua parti telah mempunyai pengalaman menghantar calon masing-masing di siri-siri PRK yang lalu.
“Kali ini adalah giliran UMNO dan Barisan Nasional dan saya dapat lihat keadaan gerak kerja jentera Perpaduan adalah lebih tersusun dan pemimpin-pemimpin utama tidak kira daripada PKR, Amanah mahupun Dap mereka menzahirkan kesungguhan untuk membantu calon UMNO dan Barisan Nasional pada kali ini,” ujarnya.
Justeru, beliau mewakili kepimpinan tertinggi UMNO terutamanya mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka dan berharap hari berbaki kempen ini semua pihak akan melipat gandakan usaha bagi mencapai kemenangan.
Sabtu lalu, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan pusat operasi Perpaduan sebaik selesai proses penamaan calon.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 24 Sept manakala hari pengundian pada 28 Sept.
BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon. – UMNO ONLINE