PN Terlalu Menyeleweng, Tandus Isu… Parti Perpaduan Amalkan Sikap Bantu-membantu

KLUANG, 18 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Seri Ahmad Maslan membidas Perikatan Nasional (PN) yang menuduh UMNO memperalatkan Dap bagi memperoleh undi kaum Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Tegas Timbalan Pengarah PRK DUN Mahkota Barisan Nasional (BN) itu, pembangkang amat ketandusan isu dan mahu menimbulkan persepsi kerana sedar tiada peluang mendapat undi dari kaum tersebut.

“Oleh itu pihak-pihak yang ketandusan isu amat khuatir jika masyarakat Cina mengundi Barisan Nasional. Mereka tahu mereka tidak ada peluang untuk menang jika masyarakat Cina tidak mengundi mereka.

“Setakat ini oleh kerana kita dalam keluarga Perpaduan dan ada ribuan penyokong Kerajaan Perpaduan, sama ada melalui PKR, Amanah, Dap, kita saling membantu. Bukan kita menggunakan, kita saling membantu.

“Sebagai contoh di (PRK DUN) Kuala Kubu Bharu, pada ketika itu Dap bertanding, UMNO membantu. Kali ini UMNO bertanding, Dap membantu. Dalam Kerajaan Perpaduan sifat kita begitu,” ujar Timbalan Menteri Kerja Raya itu kepada UMNO Online.

Sabtu malam lalu, ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah, Ahli Parlimen PN Padang Serai membuat tuduhan bahawa Dap telah dijadikan alat UMNO untuk menarik undi Cina di PRK Mahkota.

Oleh kerana itu kata Ahmad, PN membuat tuduhan yang menyeleweng.

“Perkataan memperalatkan itu tidak tepat. Apa yang kita lakukan dalam Kerajaan Perpaduan ialah kita saling hormat-menghormati antara parti-parti yang ada di dalamnya.

“Oleh itu tuduhan itu terlalu menyeleweng. Sebenarnya parti Perpaduan ada 18 parti. Mereka kata UMDap. UMDap hanya dua parti… kalau UMDap tidak boleh jadi kerajaan cuma ada 70 kerusi jika dicampur kedua-duanya.

“Oleh itu parti (Perpaduan) ini parti yang pelbagai. Kalau kita nak sambung nama 18 tu, bukan UMDap bunyinya… campurkanlah… MCA, MIC, kemudian UMNO, PKR, Dap, Amanah, parti Sarawak, parti Sabah… panjanglah. Oleh itu ia adalah tuduhan berniat tidak baik,” katanya lagi.

Ulas Ahmad lagi, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu ketika merasmikan pembukaan pusat operasi Perpaduan di sini menegaskan bahawa demografi pengundi dalam PRK DUN Mahkota ini melambangkan keharmonian pelbagai kaum.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu lalu dan pengundian awal pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September.

BN mewakili Kerajaan Perpaduan menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon manakala PN mempertaruhkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.