PRK Mahkota: Isu Banjir Antara Fokus Calon BN

KLUANG, 15 Sept – Mencari penyelesaian isu banjir di beberapa kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota antara keutamaan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Beliau berkata terdapat beberapa lokasi di kawasan itu masih berdepan masalah kerap berlaku banjir, walaupun terdapat masalah sama di kawasan lain diselesaikan oleh kerajaan negeri serta kerajaan pusat.

“Tidak dinafikan sekiranya hujan lebat berterusan, ada sesetengah tempat akan terkesan. Isu melibatkan banjir perkara penting di setiap kawasan.

“Jadi sekiranya perkara ini kita perlu panjangkan, kita akan bawa ke peringkat atasan selepas ini,” katanya semasa ditemui pada Program Ziarah Kasih di DUN Mahkota.

Menyentuh cadangan pembinaan benteng bagi mengatasi masalah itu seperti disuarakan penyandang DUN Mahkota sebelum ini, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan selepas mendapat pandangan agensi berkaitan.

“Kita akan bertanya pihak agensi berkaitan yang mempunyai kepakaran seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi mendapatkan pandangan mereka,” katanya.

Masalah banjir kilat antara permasalahan yang diutarakan pengundi DUN Mahkota.

Ketua Polis Johor M Kumar semalam juga memaklumkan pihaknya bersiap siaga termasuk dengan persiapan aset bot dan lori jika banjir berlaku sepanjang tempoh PRK berlangsung.

Hari pengundian PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar ialah pada 28 Sept, manakala undi awal ditetapkan pada 24 Sept.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.

Pada PRN lepas, Sharifah yang mewakili BN menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.