Terjemahkan Sokongan Kepada BN, Undi Syed Hussien – Noraini

KLUANG, 14 Sept – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dapat menterjemahkan sokongan mereka kepada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 28 September ini.

Jelas beliau, ini kerana Syed Hussien, 40, sebagai pemimpin yang mewakili BN sudah tentunya akan melaksanakan gerak kerja terbaik beliau sebagai wakil rakyat di sini sekiranya menang kelak.

“Saya harap pengundi-pengundi di kawasan DUN Mahkota ini memberi sokongan kepada Syed Hussien sebab beliau bawa nama BN.

“Dia akan berbakti nanti bila menang, akan menyantuni orang ramai, menyelesaikan masalah dan dia adalah wakil kami BN di DUN Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui melakukan ziarah kasih dengan berkunjung ke rumah golongan yang tidak bernasib baik di pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Baru.

Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pada itu berkata Wanita UMNO komited dengan menjalankan gerak kerja lebih awal mendekati pengundi terutama dalam kelompok wanita.

Menurut beliau ia penting dalam menyampaikan aspirasi parti kepada rakyat terutamanya menyampaikan kepentingan mengundi BN pada PRK ini.

“Wanita UMNO memang satu jentera yang saya kira memang banyaklah baktinya kepada UMNO ini sendiri, jadi bersempena PRK ini kita gerakkan Wanita UMNO negeri dan bahagian ini sendiri dah hampir satu bulan.

“Sekarang ini adalah tugasan kami untuk meneruskan mana-mana yang belum kami santuni dan insya-Allah, perkara ini kita terus jalankan selain daripada membuat aktiviti-aktiviti bersama dengan pengundi-pengundi, terutamanya pengundi-pengundi wanita,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan kempen dari rumah ke rumah, beliau berkata ia salah satu daripada pendekatan yang dilakukan Wanita untuk berasa lebih dekat dengan rakyat.

Kata beliau lagi gerak kerja kempen ini juga melibatkan jentera wanita daripada negeri dan bahagian angkat yang terpilih.

“Sekarang ini kita arahkan supaya membuat tugasan untuk menyantuni orang ramai, terutamanya rumah ke rumah dan semua untuk bergeraklah sekata maka perjalanan itu adalah secara bersama,” katanya lagi.

Terdahulu, penamaan calon PRK ini menyaksikan pertembungan antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu bagi mempertahankan kemenangan pada PRN yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.