Syed Hussien Hargai Dukungan Jentera BN, Fokus Khidmat Terbaik

KLUANG, 14 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah merakamkan penghargaan kepada jentera Barisan Nasional (BN) yang memberikan dukungan kepadanya pada proses penamaan calon yang berlangsung hari ini.

Jelas beliau, ia memberikan suntikan semangat kepada dirinya untuk melaksanakan gerak kerja terbaik bagi menghadapi tempoh dua minggu berkempen.

“Anda yang sanggup menunggu dalam keadaan panas apa-apa pun insya-Allah kami sedang fokus kepada gerak kerja dan akan buat yang terbaik

“Alhamdulillah segala-segalanya digerakkan oleh Allah apapun saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan, negeri, bahagian dan semua rakan-rakan Friends of BN,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian kepada media usai proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini yang dihadiri kira-kira 10,000 orang jentera.

Ditanya media berkenaan pemergian ayahandanya Allahyarham, Syed Abdullah Syed Abdul Hamid baru-baru ini, kata Syed Hussein, 40 kata-kata terakhirnya menjadi pembakar semangat dalam melaksanakan perjuangan kepada rakyat.

“Insya-Allah ianya akan menjadi satu suntikan semangat dan pesanan terakhir beliau merupakan antara semangat yang terakhir yang saya akan bekalkan untuk jadi yang terbaik untuk semua,” ujar beliau.

Terdahulu, proses penamaan calon melabuhkan tirainya hari ini apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK melibatkan saingan dua penjuru di antara Syed Hussein calon BN dan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9 pagi manakala Mohamad Haizan, 61, menyerahkan borang pada 9.05 pagi.

Proses penamaan tersebut juga menyaksikan kehadiran jentera dan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal PRK DUN Mahkota pada 24 September manakala hari pengundian pada 28 September. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.