Syed Hussien Calon Terbaik BN, Ada Kelebihan Tarik Sokongan Pengundi Mahkota – Ahmad Zahid

KLUANG, 14 Sept – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mempunyai kelebihan tersendiri dalam meraih sokongan pengundi, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Pengerusi BN itu, selain sebagai pemimpin muda, Syed Hussien juga mempunyai latar belakang pendidikan di sekolah Cina yang turut sama memberi kelebihan kepadanya.

“Calon yang terbaik pada pandangan kami bukan hanya kerana sebagai orang muda, tetapi beliau berpendidikan sekolah rendah kebangsaan Cina.

“Beliau juga mempunyai pemahaman yang mendalam terhadap budaya, bahasa dan juga pemikiran orang Cina kerana terdapat hampir 35 peratus pengundi di Mahkota ini adalah orang Cina.

“Di samping itu, beliau juga adalah ketua pemuda yang mempunyai dukungan bukan hanya daripada pengundi-pengundi muda di mana lebih daripada 51 peratus pengundi di Mahkota ini adalah orang muda. Di samping itu, beliau menyantuni orang-orang yang lebih daripada 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, bagi mengiringi Syed Hussien.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata paling penting pencalonan Syed Hussien mendapat sokongan daripada kesemuan jentera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri serta parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

Beliau dalam pada itu turut sama meluahkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah melaksanakan gerak kerja awal termasuk sewaktu pengumuman calon.

“Parti telah memutuskan beliau mewakili BN dalam Kerajaan Perpaduan untuk pilihan raya ini dan dukungan daripada ketiga-tiga sayap pada beliau.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor yang menjadi pengarah pilihan raya yang telah memulakan kerja-kerja lebih awal itulah sebabnya BN telah mengumumkan seminggu lebih awal daripada hari penamaan calon,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK ini menyaksikan saingan dua penjuru di antara Syed Hussein calon BN dan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.