‘Senario Politik Handphone… Tuntut Akar Umbi Guna Formula Like, Komen Dan Share’ – Akmal
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan senario politik hari ini berkait rapat dengan sosial media.
Menterjemahkannya sebagai politik handphone, beliau berkata like komen dan share sebagai formula untuk membawakan manifestasi prihatin pemimpin kepada rakyat.
“Jadi apabila bercakap soal politik handphone ini bukan sahaja tengok baca WhatsApp itu sahaja. Tak! Malah bukan kita nak mengharapkan pada Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang buat. Tak!
“Penerangan sediakan konten tetapi yang nak viralkan itu adalah kita semua, tiga juta ahli UMNO. Jadi, macam mana? Buka handphone sekarang, formulanya melalui like, komen, share,” katanya.
Akmal berkata demikian ketika ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang berlangsung di Dewan Merdeka, semalam.
Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, pengguna di Tiktok mengenali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem atas kebajikannya kepada rakyat.
Sedangkan katanya ia adalah gerak kerja biasa dilakukan oleh akar umbi UMNO yang tidak mendapat publisiti.
“Bila diviralkan hantaran daripada pemimpin tempatan, maka kawan yang tak ikuti pemimpin pun boleh tengok dah apa yang pemimpin itu buat.
“Kalau hari ni orang kata YB Duyong ini bagus sedangkan dalam UMNO ni ada seribu oranglah macam dia.
“Isu ini adalah tak promosi pemimpin kita. Sebab apa? Dulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) rakyat dimomokkan pemimpin UMNO malas, tak buat kerja. Tapi hari ni kalau kita tunjukkan saya percaya pemikiran orang akan berubah,” ujar beliau.
Akmal seterusnya turut berkata akar umbi perlu bertindak sebagai tentera siber UMNO bagi menjalankan tanggungjawab sebagai jentera parti keramat ini.
“Percayalah cakap saya, hantaran tu akan viral. Jadi, kita semua adalah jentera siber untuk UMNO.
“Jadi saya minta tolong menghadapi peperangan yang baru ni dominasi media, sosial perlu kita buat bukan serahkan kepada penerangan semata-mata.
“Ia menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli UMNO untuk menangkan UMNO ini,” ujar beliau. – UMNO Online