Mohamad Hasan Harap Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO Dapat Bahas Usul, Topik Utama Tanah Air
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO esok dapat membahaskan usul-usul serta perkara yang menjadi topik utama politik tanah air.
Menurut beliau antara lain sepertimana yang disentuh dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam tadi, politik toksik adalah perkara yang tidak memberi apa-apa manfaat sebaliknya menimbulkan kebencian antara satu sama lain.
“Saya menyentuh beberapa perkara tadi berkenaan politik toksik yang melanda negara kita, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Kita lihat betapa fitnah- memfitnah dan cerca-mencerca itu…bak orang kata wadah utama untuk mereka menarik hati pengundi-pengundi. Tapi Alhamdulillah, di Gua Musang tempoh hari, di Nenggiri kita tak terperangkap dengan taktik begitu.
“Jentera kita tidak mempedulikan apa saja tohmahan-tohmahan mereka, bahkan kita buat kerja, berjumpa dengan seramai mungkin pengundi-pengundi di kawasan Nenggiri dan akhirnya agak jelas, orang kata dah muak dah, mencaci, mencerca, mengeluarkan kata-kata kesat kepada seseorang.
“Saya harap tadi supaya UMNO…kita jangan terjebak dengan politik toksik seperti itu. Kita bahaskan segala cercaan, tomahan mereka itu dengan data, dengan hikmah dan juga dengan rasional yang mungkin supaya kita tidak pula merendahkan matabat politik UMNO ini ke tahap yang kita sendiri tak suka orang melakukan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO 2024, yang turut dihadiri Naib-naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Perkara kedua kata Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar Negeri, menjadi kerisauan beliau berkenaan dengan betapa kecenderungan sesuatu pihak untuk menggunakan agama Islam sebagai wadah untuk mereka berpolitik.
“Menggunakannya dengan baik tak apa, Alhamdulillah…seperti yang saya katakan tadi bahawa Islam ini membawa kemajuan… kesejahteraan tetapi menggunakannya untuk kita merendahkan martabat orang, menggunakannya untuk mencerca orang, saya tak yakin itu sesuatu yang perlu dilakukan terutamanya agama suci Islam ini.
“Jadi kita tak mahu. Saya kata tadi seolah-olah ataupun seakan agama Islam ini telah ‘dihijack’ di Malaysia. Islam ini cuma kepunyaan segelintir ataupun sekumpulan orang sahaja dan mereka menuduh dengan macam-macam. Jika tidak bersama mereka, kita dituduh bukan islamik dan macam-macam lagi. Jadi ini terjadi semasa di Nenggiri tempoh hari dan macam-macam lagi.
“Dan ketiganya betapa golongan ‘millenial’ ini yang mencorakkan politik sesebuah negara. Banyak negara tumbang, baru-baru ni France, selepas tu Bangladesh tumbang disebabkan oleh golongan ‘milenial’, generasi Z ini yang menggunakan media sosial, yang menggunakan alam maya untuk mereka berkomunikasi dan berpolitik.
“Mereka ini tidak menganggotai mana-mana parti tetapi mereka menjadi pempengaruh dan mereka dapat menjalankan apa juga kempen-kempen yang berkesan melalui media sosial.
“Jadi saya harap dan saya minta tadi, Pemuda, Puteri dan juga Wanita yang masih muda untuk menceburkan ataupun membuat suatu gerak kerja yang berasaskan kepada alam maya ini. Memang bagus, kita pun dah buat dah. Ketua Pemuda kita, Ketua Puteri kita dengan tiktoknya, Wanita kita bahkan semasa di Nenggiri tempoh hari telah menampakkan betapa kita telah menggunakan media sosial ini dengan amat baik,” ujarnya.- UMNO Online