Jangan Jadi Liabiliti Pada UMNO, Kerjasama Erat Sangat Penting – Syahbudin Hashim

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Janganlah kita menjadi liabiliti kepada parti tetapi kita yang sepatutnya menggerakkan parti, demikian tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbudin Hashim.

Katanya, perkara yang penting adalah kerjasama yang erat dari semua pihak dan ahli yang berkualiti agar parti beroleh kejayaan.

“Janganlah kita menjadi liabiliti kepada parti tetapi kita yang sepatutnya menggerakkan parti. Orang yang memberi contoh kepada orang lain bahawa ahli-ahli parti sekarang ini adalah ahli-ahli parti yang berkualiti dan bagi yang tidak berkualiti dan berkepentingan sudah tidak ada di dalam parti kita.

“Saya yakin dengan kerjasama yang erat daripada semua pihak, insya-Allah parti UMNO kembali kepada rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, petang tadi.

Syahbudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana telah memberikan suntikan semangat pada jentera UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau orang yang paling utama yang memberikan suntikan semangat kepada kami semua sebagai jentera UMNO di Nenggiri.

“Saya yakin dengan kepimpinan beliau pastinya kita akan dapat menang kembali di DUN Mahkota dan juga menang besar di Negeri Sabah dan semestinya ini dapat diterjemahkan dengan strategi-strategi yang berbeza.

“Kemenangan di DUN Nenggiri memberikan semangat, aura pemimpin-pemimpin, pendukung dan juga penyokong UMNO untuk hadir pada PAU 2024 serta berikan semangat yang baharu kepada seluruh pemimpin untuk terus berkerja dalam mempastikan agar parti UMNO diterima baik di seluruh negara,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.