‘Serangan Tohmahan, Caci Maki Dan Fitnah PN Di Nenggiri Tak Menjadi’ – Azhar

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata modal serangan politik tidak matang dibawa Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri tidak menjadi dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Sabtu malam.

Beliau berkata serangan tersebut malah membuktikan PN tidak serius dengan agenda membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

“Mereka menyerang bagi membusukkan kepala organisasi agar seluruh anggota badan organisasi akan menjadi busuk.

“Betapa jahatnya mereka menyerang bukan untuk membangunkan infrastruktur rakyat dan tawaran-tawaran untuk rakyat DUN Nenggiri tetapi hanyalah serangan peribadi berupa dendam kesumat mereka.

“Tohmahan, caci maki dan fitnah sewenang-wenangnya dilemparkan kepada UMNO. Akhirnya takdir dan keadilan Allah telah terbukti,” katanya menerusi kenyataan.

Azhar yang juga Ahli Dewan Negara dalam pada itu meluahkan kesyukuran dengan kemenangan UMNO/BN dan berkata ia adalah atas usaha gerak kerja bersama kepimpinan dan jentera UMNO yang membantu.

“Tahniah diucapkan kepada Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani di atas kemenangan di DUN Nenggiri juga Presiden UMNO dan semua jentera UMNO yang istiqamah dalam menghadapi PRK DUN Nenggiri.

“Bagi saya pilihan raya ini saya melihat seolah olah tiada dosa pahala. Fitnah dan tohmahan serta serangan-serangan peribadi khususnya pada insan yang kita kasihi YAB Presiden sudah di luar sempadan orang yang berakal.

“Mereka terlupa doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah SWT. Tahniah di atas kemenangan awal ini. Perancangan dan solidariti membawa kemenangan berpihak kepada UMNO,” ujar beliau.

Terdahulu, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan secara rasmi menang pilihan raya tersebut selepas menewaskan calon Pas mewakili PN, Mohd Rizwadi Ismail sekali gus menawan semula kerusi itu.

Mohd Azmawi Fikri, 38, secara rasmi menang dengan memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.