Dr Akmal Kata PRK Nenggiri Bukti Perubahan UMNO Mampu Membuahkan Hasil

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri membawa seribu satu makna dalam UMNO, ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr Akmal Saleh.

Ujarnya, kekuatan UMNO adalah orang Melayu/Bumiputera dan populasi Nenggiri yang hampir 95% Melayu/Bumiputera menjadi satu indikator bahawa UMNO masih lagi di hati setiap orang Melayu.

“Tetapi sebelum ini mereka mungkin sayang tetapi tidak percaya kepada UMNO dan membuatkan mereka tidak mempunyai pilihan dan beralih arah kepada parti selain UMNO untuk memberi signal bahawa rakyat mahukan perubahan dalam UMNO.

“Mereka merasakan UMNO perlu berubah dahulu baru kepercayaan mereka akan kembali terhadap UMNO. Berubah dari gaya politik dan pemikiran yang tidak lagi relevan di hati rakyat.

“Rakyat mahukan pemimpin yang berkhidmat dan berani membawa suara mereka bukan pemimpin yang hanya bergelar Yang Berhormat tetapi hanya memikirkan tentang kepentingan diri sahaja,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Jelas Dr Akmal lagi, bukan mudah untuk melakukan perubahan tetapi UMNO telah melakukannya di Nenggiri dan Alhamdulilah rakyat menerima dan kembali mempercayai parti keramat ini.

“Dan kepercayaan ini bukanlah bersifat kekal, kerana jika kita lalai, maka sudah pasti kita akan dihukum kembali oleh rakyat.

“Terima kasih kepada pimpinan tertinggi UMNO kerana mempercayai barisan pemuda UMNO untuk menerajui perubahan ini.

“Bukan mudah kerana pelbagai dugaan dihadapi oleh kami dari peringkat awal, tetapi kami percaya jika kita ikhlas demi agama bangsa dan negara, Allah akan bantu perjuangan ini,” katanya.

Begitu juga tambahnya, Pemuda UMNO kekal konsisten membawa suara rakyat tanpa rasa takut dulu, kini dan Insya-Allah selamanya.

“Kerana kami percaya bahawa UMNO wajib menjadi platform utama untuk menyatupadukan Melayu Islam di negara seperti di peringkat awal penubuhan UMNO dahulu kerana itulah yang dimahukan oleh semua rakyat,” katanya.

Malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

Sebagai rekod, PRK kawasan itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket Pas mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.