BN Sambut Kemenangan Di Nenggiri Penuh Keinsafan, Perjalanan Masih Jauh

GUA MUSANG, 18 Ogos – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggi disambut dengan penuh keinsafan dan tawaduk.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata perjalanan masih jauh dan kemenangan yang dicapai pada Sabtu malam adalah satu rahmat dan bukanlah untuk bermegah.

Menurut beliau kepercayaan pengundi DUN Nenggiri kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani adalah satu amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat setempat.

“Alhamdulillah kita menyambut kepercayaan para pengundi kepada Awie pada malam ini (Sabtu) dengan penuh keinsafan dan penuh tawaduk. Ini adalah amanah serta kepercayaan yang besar kepada Awie dan BN.

“Terima kasih kepada pengundi dan masyarakat di Nenggiri yang membuat keputusan dengan penuh bijaksana serta kematangan berpolitik yang cukup tinggi.

“Begitu juga Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Pengarah Pilihan Raya YM Tengku Razaleigh Hamzah,  jentera setempat, jentera angkat  selain seluruh kepimpinan dan jentera parti  yang lain. Alhamdulillah,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Sharkar seterusnya mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera yang bertungkus-lumus berkempen sepanjang tempoh kempen PRK berkenaan.

“Sekalung penghargaan kepada jentera parti yang tidak kenal erti penat dan lelah dalam usaha membantu kemenangan parti hari ini.

“Begitu juga pihak media yang sama-sama membantu dalam memberikan liputan kepada BN pada PRK ini. Terima kasih dan sekali lagi tahniah kepada pengundi dan seluruh jentera parti,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi malam tadi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Mohd Azmawi Fikri atau Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.