Kemenangan Bersama… Syukur Ke Hadrat Allah SWT, Amanah Buat Jentera Parti
GUA MUSANG, 17 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan kesyukuran di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Katanya, dengan kemenangan BN di DUN Nenggiri ini, beliau memohon semua jentera tempatan dan bahagian-bahagian melakukan sujud syukur ke hadrat Illahi.
“Malam ini saya meminta semua jentera parti sujud syukur pada Allah SWT kerana kemenangan ini tidak mungkin dapat tanpa pertolongan dari Allah SWT dan jangan lupa setiap pertolongan dari Nenggiri ini.
“Kalian jentera di Nenggiri dan juga dari bahagian-bahagian lain pasti akan kembali ke destinasi dan saya ucapkan selamat kembali tetapi jangan lupa semua ada amanah dan tanggungjawab yang digalaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadikan Nenggiri sebagai teras dan Gua Musang sebagai ‘anak angkat’ dan ‘anak emas’ kita bersama,” katanya di Command Centre, Bukit Cekati malam ini.
Dilaporkan, berdasarkan keputusan tidak rasmi, Calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani memperoleh 9,113 undi manakala Pas yang diwakili Mohd. Rizwadi Ismail sebanyak 5,741 undi dengan majoriti 3,372.
BN menang di 17 Pusat Daerah Mengundi (PDM) manakala Pas hanya menang di tiga PDM.
PRK DUN Nenggiri membabitkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan calon Pas.
PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket Pas mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 810 undi. – UMNO Online