Syahbuddin Seru Pengundi Luar Pulang, Sokong Awie Di PRK Nenggiri

GUA MUSANG, 16 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, menggesa pengundi-pengundi luar Barisan Nasional (BN) untuk pulang dan menyokong penuh calon nombor dua, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, atau lebih dikenali sebagai Awie, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.

Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang menegaskan betapa pentingnya seluruh pengundi DUN Nenggiri memberikan undi mereka kepada Awie, seorang calon yang dipercayai mampu memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat kawasan itu di DUN kelak.

“Saya nak jemput balik semua pengundi-pengundi luar Barisan Nasional (BN) yang difahamkan ramai yang nak balik untuk memberikan undi kepada calon nombor dua, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Saya berharap seluruh pengundi DUN Nenggiri dapat membantu dan memberikan undi serta sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Awie untuk dijadikan sebagai wakil kepada rakyat di kawasan ini dengan Kerajaan Pusat dan membawa suara rakyat Nenggiri dalam DUN Negeri.

“Saya percaya Awie akan memenangi PRK ini. Insya Allah, sama-sama kita doakan,” katanya kepada UMNO Online, di Bukit Cekati, Gua Musang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.