PRK Nenggiri: Isu Nasional Yang Dibawa PN Tidak Akan Pengaruhi Pengundi – Ahmad Zahid

GUA MUSANG, 16 Ogos – Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diyakini tidak akan mudah terpengaruh dengan isu nasional dibawa Perikatan Nasional (PN) ketika berkempen di kawasan itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jentera BN bekerja bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen bagi menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan, dan juga mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu tempatan yang timbul di seluruh 20 pusat daerah mengundi (PDM) di DUN itu.

“Pengundi di Nenggiri amat bijak, isu-isu nasional yang dimainkan mereka (PN) tidak pun terlekat dalam pemikiran dan hati mereka.

“Isu Nenggiri mereka telah ketahui lama dan tidak ada jawapan untuk penyelesaian… rakyat khususnya di Nenggiri dapat menilai kemampuan bukan sahaja calon itu tetapi juga pentadbiran yang dilakukan peringkat negeri yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada isu air, balak dan tanah akan mempengaruhi pengundi di Nenggiri selepas menghadiri Program Hari Terbuka RISDA peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 di Kampung Kala Star, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah PRK BN bagi DUN Nenggiri Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

PRK itu yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili BN dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.

Mengenai perjalanan kempen yang berbaki kurang 48 jam lagi, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berpuas hati dengan gerak kerja calon dan jentera, yang telah bersungguh-sungguh bertemu pengundi dan menjelaskan isu-isu dibangkitkan PN dan rakyat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan seluruh jawatankuasa jentera parti, yang bekerja keras untuk memenangkan calon kita.

“Kami telah berusaha bersungguh-sungguh bukan hanya sekadar menjelaskan isu-isu dibangkitkan tetapi mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang timbul di seluruh 20 PDM, selebihnya kami serahkan pada Allah untuk kemenangan calon kita pada hari Sabtu ini,” katanya.

PRK itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.