Ada Cahaya Kemenangan Di DUN Nenggiri, Teruskan Tekad Pilih BN – Ahmad Maslan
GUA MUSANG, 16 Ogos – Esok rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari mengundi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menzahirkan keyakinan penuh bahawa calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berada di landasan kukuh untuk menawan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya itu, momentum sokongan yang semakin meningkat terhadap calon BN jelas menunjukkan bahawa kemenangan semakin hampir.
“Alhamdulillah… ada nampak cahaya yang baik kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang merupakan calon nombor dua. Insya-Allah semuanya mudah-mudahan.
“Apa yang dibuat oleh BN semata-mata untuk rakyat dan perjuangan ini adalah untuk memantapkan pembangunan di Nenggiri,” katanya ketika ditemui UMNO Online di Bukit Cekati, di sini.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berpesan kepada seluruh pengundi DUN Nenggiri untuk keluar awal untuk pergi mengundi.
“Keluar lebih awal khuatir bahagian petang hujan dan jalan sesak dan selesaikan pada waktu pagi.
“Jangan lupa bawa kad pengenalan jangan beri pada orang kad pengenalan kita. Insya-Allah… hasrat untuk memenangi DUN Nenggiri ini akan dimakbulkan oleh Allah SWT demi rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru pengundi luar yang menyokong calon BN, Awie, untuk pulang mengundi.
“Kepada pengundi luar yang ingin mengundi calon BN, Awie… sila pulang dan bukan selalu ada PRK. Pilihan raya ini adalah takdir yang jarang-jarang berlaku dimana-mana pun,” ujarnya.
Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon BN dan PN pada 17 Ogos ini.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya Mohd Rizwadi Ismail. – UMNO Online