Tengku Razaleigh Seru Penyatuan Melayu Di Gua Musang, Undi BN

GUA MUSANG, 16 Ogos – Pengarah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyeru semua orang Melayu untuk bersatu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan (DUN) Nenggiri.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang menegaskan pentingnya penyatuan orang Melayu dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk kemajuan bersama.

“Kita turun padang dengan satu tujuan saja nak minta semua orang Melayu bersatu dan tidak lebih daripada itu. Apabila kita bersatu, kita harap dapat bekerjasama dan sokongan dari semua dalaman UMNO serta dapat bangunkan orang Melayu.

“Tak boleh tengok kawasan Nenggiri ini terbiar seperti sekarang. Kita patut bergerak ke depan dan kita dibantu oleh teknologi moden terutamanya di kalangan muda-mudi dengan dibekal idea baharu. Ini semuanya bekalan untuk kita maju ke hadapan dan kita ajak orang Melayu bersama.

“Saya tumpu sepenuh masa pada pilihan raya ini nak tengok Melayu bersatu serta berpakat agar undilah BN pada PRK ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh memohon pengundi untuk menyokong calon BN pada Sabtu, 17 Ogos ini.

“17 Ogos ini kalau kita pakat ramai-ramai ngundi calon BN pakai nombor dua, Awie kita,” jelasnya.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon BN dan Pas.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau yang mesra dengan panggilan Awie sebagai calon. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.