Tok Mat Harap Pengundi Nenggiri Tidak Sia-siakan Kebolehan Awie

GUA MUSANG, 15 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dapat memberikan keyakinan masing-masing kepada calon parti itu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada hari pengundian Sabtu ini.

Menurut beliau dengan kebolehan serta pelbagai kelebihan yang ada pada calon BN itu yang lebih dikenali dengan Awie, maka masyarakat DUN Nenggiri akan mendapat seorang ‘yang berkhidmat’.

“Alhamdulillah, pagi ini saya bersama jentera setempat meneruskan kempen rumah ke rumah bertemu para pengundi. Alhamdulillah maklum balas yang amat baik.

“Saya berharap agar pengundi-pengundi Nenggiri khususnya di Limau Kasturi ini memberikan kepercayaan kepada saudara Awie, seorang pemimpin muda, anak tempatan yang juga merupakan pengundi di sini untuk kita berikan peluang kepada beliau supaya proses untuk peremajaan dalam politik tanah air ini dapat kita lakukan dengan baik.

“Awi bukannya orang asing, Awie bukannya orang luar dan Awie merupakan anak tempatan yang telah lama berkhidmat walaupun dia tak ada apa-apa jawatan dulu tetapi membantu sebagai pembantu kepada YB Aziz,” katanya kepada UMNO Online di sini, hari ini

Terdahulu beliau bersama jentera setempat di PDM Limau Kasturi bertemu mata dengan masyarakat di kawasan berkenaan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya menambah kelebihan serta kebolehan yang ada pada Awie harus dimanfaatkan oleh pengundi Nenggiri dengan memilih beliau pada hari pengundian Sabtu ini.

“Alhamdulillah, ini satu kualiti yang baik. Anak muda yang sanggup bekerja kuat walaupun tak ada apa-apa jawatan. Jadi mari kita bagi beliau peluang untuk berkhidmat di Nenggiri ini, kawasan beliau sendiri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.