Pilih BN… Awie Ada Pakej, Mampu Jadi ‘Yang Berkhidmat’

GUA MUSANG, 15 Ogos – Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali melihat calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bukan sahaja pemimpin muda malah diyakini mempunyai ‘pakej’ sebagai ‘Yang Berkhidmat’.

Bagi beliau pilihan yang ada untuk pengundi Nenggiri adalah tepat iaitu memberikan undi kepada Mohd Azmawi atau lebih dikenali Awie pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Sabtu ini.

“Sokongan masyarakat DUN Nenggiri untuk menyokong Awie adalah penting, kerana beliau diyakini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat tetapi juga berperanan sebagai semak dan imbang kepada apa jua tindakan kerajaan negeri.

“Dengan pengalaman dan hubungannya dengan masyarakat setempat yang beliau miliki, Awie berpotensi untuk membawa perubahan yang signifikan dan memastikan pembelaan rakyat di Nenggiri,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi inilah masanya orang muda serta belia dan pelbagai kumpulan masyarakat menyatakan pilihan masing-masing dengan memberikan kepercayaan kepada Awie.

“Sepertimana yang diperkatakan oleh banyak pihak kita angkat Awie sebagai ‘Yang Berkhidmat’, insya-Allah akan mampu menjadi sebagai semak dan imbang di peringkat DUN nanti.

“Jadi undilah sebaiknya, beri kepercayaan kepada Awie untuk menambahkan lagi suara rakyat di DUN dan suara untuk orang Nenggiri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.