Awie Potensi Untuk Rakyat Bawa Perubahan Di Nenggiri – Bastien Onn

GUA MUSANG, 15 Ogos – Tinggal beberapa hari lagi pengundi di Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan melaksanakan tanggungjawabnya sementara parti masing-masing semakin giat berkempen untuk memenangi hati pengundi.

Bagi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn, peluang calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie untuk memenangi PRK DUN Nenggiri semakin cerah.

Menurutnya beliau, peningkatan kempen semakin ketara dalam sokongan yang diterima oleh calon BN itu, yang menurutnya memberi isyarat positif menjelang hari pengundian.

“Awie memiliki beberapa ciri penting yang menjadikannya calon yang ideal untuk rakyat Nenggiri. Selain latar belakang pendidikan yang kukuh, Awie dikenali sebagai seorang yang mesra rakyat, sering turun padang, dan mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.

“Sikapnya yang rajin merapati rakyat dan menabur jasa menjadikan beliau menjadi pilihan yang dihormati di kalangan penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Tumboh, Nenggiri. 

Beliau menambah bahawa usaha Awie untuk mendekati masyarakat Nenggiri bukanlah satu perkara yang dilakukan secara terburu-buru.

“Ia mengambil masa yang lama untuk Awie membina hubungan dan kepercayaan dengan masyarakat di sini. Ini menunjukkan komitmen beliau yang tulus dalam berkhidmat untuk rakyat.

“Ramai pengundi yang ditemui menyatakan bahawa Awie telah banyak berjasa kepada komuniti mereka. Faktor ini memberikan sedikit kelebihan kepada beliau untuk memenangi pilihan raya pada Sabtu ini,” jelas beliau.

Tambah Bastien, sekiranya Awie diberikan mandat oleh rakyat dalam PRK ini, beliau akan mempunyai ‘locus standi’ sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh masyarakat setempat.

“Dengan status itu, tanggungjawab beliau akan bertambah, dan beliau akan mempunyai akses yang lebih baik kepada pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat.

“Awie akan dapat membawa kemajuan yang diperlukan di Nenggiri walaupun kawasan ini masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam,” katanya lagi.

Ujarnya, dengan sokongan Kerajaan Perpaduan, Awie akan dapat membawa kemajuan yang diperlukan di Nenggiri seterusnya mendapat perhatian dari Persekutuan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.