Pengundi Harus Pilih Awie, Dapat Bantu Masyarakat Nenggiri – Azalina

GUA MUSANG, 13 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu memilih calon yang banyak pengalaman dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata, pengundi harus memilih Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie kerana beliau dapat membawa kemajuan serta fokus pada kawasan ini.

“Saya harap pengundi akan menggunakan akal dan memilih seorang yang ada pengalaman, dapat memajukan kawasan dan fokus pada perkhidmatan untuk rakyat sejak sekian lama.

“Sekiranya rakyat mengundi dan memilih dengan bijak maka adalah wajar memilih seseorang yang dapat membantu untuk bangunkan kawasan.

“Kalau nak pilih ‘marahkan nyamuk bakarkan kelambu’ tapi mereka tidak tinggal di sini adalah tidak kena… jadi pilihlah dengan bijak dan mesti menentukan pilihan yang tepat serta yang dapat membantu,” katanya kepada media ketika beliau mengadakan kunjungan di Kampung Limau Kasturi di sini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang mengingatkan pengundi di DUN Nenggiri agar memilih calon yang boleh membawa suara rakyat ke kerajaan pusat.

“Apabila memilih seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili suara dari parti kerajaan pusat, maka lebih mudah dan senang. Di Nenggiri ini lihat banyak ketinggalan yang telah berlaku semenjak 2018.

“Kita mahukan kesinambungan, dengan adanya wakil rakyat peringkat DUN yang boleh bersuara dan menjadi pembangkang dalam Dewan Negeri nanti. Awie akan membawa suara pembangunan bagi kerajaan pusat di peringkat negeri dan ini akan membantu rakyat,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dan tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada hari ini.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.