PRK Nenggiri: Pilih Awie Untuk Perubahan, Pastikan Sokongan Padu Terhadap BN

GUA MUSANG, 13 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin menjelaskan baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Renok Baru dan cawangan Titiwangsa untuk menziarahi pengundi Barisan Nasional (BN) yang sakit dan uzur, termasuk juga warga emas.

Mohamad yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri berkata sambutan mesra daripada penduduk menunjukkan bahawa mereka amat bersedia untuk menyokong calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

“Alhamdulillah… saya telah menziarahi pengundi-pengundi BN yang sakit dan uzur terutamanya warga-warga emas di PDM Renok Baru dan cawangan Titiwangsa. Saya dapati respon sangat baik dan dialu-alukan oleh tuan-tuan rumah dan nampak gaya mereka sudah bersedia mengundi calon BN.

“Inilah momentum yang harus cipta dari semasa sehingga 17 Ogos nanti dan optimis respon rakyat terutamanya pengundi terhadap Azmawi amat baik dan beliau terkenal di sini. Beliau pernah berkhidmat dengan bekas ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Galas, Abd Aziz Yusof.

“Pengalaman berkhidmat ini membuatkan rakyat begitu yakin terhadap beliau. Dengan reputasi dan prestasi yang ada pada Awie, yakin apabila diangkat sebagai wakil rakyat mampu berkhidmat lebih berkesan pada rakyat berdasarkan pengalaman yang ada sebelum ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online di PDM RTK Renok Baru, di sini.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis yakin rakyat Nenggiri percaya konsep yang dibawa BN terutamanya pembelaan rakyat serta insfrastruktur masyarakat.

“Saya yakin dan percaya atas konsep yang dibawa oleh BN, rakyat akan lebih faham bahawa inspirasi kerajaan untuk berikan pembangunan, pembelaan kepada rakyat akan lebih berkesan sekiranya ada jambatan melalui Awie ini.

“Kita harus bawa Awie ini sebagai jambatan kepada Kerajaan Perpaduan dan rakyat Negeri Kelantan keseluruhannya apatah lagi di DUN Nenggiri ini. Jadikanlah Awie sebagai jambatan ini antara Kerajaan Pusat dan rakyat,” jelas beliau.

Pada masa yang sama Mohamad turut merayu pengundi DUN Nenggiri agar memilih dan mengundi Awie pada 17 Ogos ini.

“Saya merayu kepada semua pengundi di DUN Nenggiri ini, ayuh… sama-sama keluar pada 17 Ogos ini pangkah BN, angkat Awie sebagai wakil rakyat yang baharu di DUN Nenggiri ini,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.