Pengundi Diseru Pilih Wakil Yang Mampu Bawa Pembangunan – Haryaty
GUA MUSANG, 13 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Haryaty Hamdzah percaya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan memilih calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berpotensi besar untuk memajukan kawasan tersebut.
Menurutnya, dengan memilih kerajaan yang stabil ia mampu membawa perubahan positif bagi Nenggiri.
“Saya percaya penduduk lebih bijak menilai bagaimana memilih kerajaan yang lebih stabil serta boleh membantu rakyat Nenggiri dan bukan hanya bercakap saja. Bukan hanya menyelesaikan dalam tempoh yang pendek tetapi boleh menyelesaikan permasalahan rakyat secara jangka panjang dan banyak lagi fasiliti yang diperlukan.
“Sekiranya pengundi memilih dan memberikan Awie peluang menjadi wakil rakyat, ini adalah satu pilihan yang bijak dan beliau akan buat lebih hebat lagi di Nenggiri. Kita tunggu nanti pada hari mengundi awal 13 dan 17 Ogos ini dan mahukan pengundi ini akan memilih calon BN.
“Kemenangan BN di DUN Nenggiri ini sekaligus akan beri momentum semangat dan jentera parti untuk memastikan kerajaan ini terus kekal dan stabil untuk negara,” katanya.
Beliau berkata kepada UMNO Online ketika ditemui di GDW KESEDAR, Jeram Tekoh, di sini.
Mengulas lanjut, kata Haryaty lagi, pengundi di sini tidak akan terjebak dalam permainan politik dan fitnah yang tidak memberi manfaat kepada mereka.
“Sekiranya selalu bermain politik dan fitnah maka ia tidak akan membantu serta beri faedah yang lebih baik pada masyarakat Nenggiri dan juga rakyat Malaysia. Fokus harus diberikan kepada usaha membina negara yang lebih baik dan sejahtera,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, dalam lawatan rumah ke rumah, beliau mendapati maklum balas positif daripada penduduk Nenggiri yang menginginkan perubahan serta peningkatan taraf kehidupan mereka.
“Apabila menyantuni rumah ke rumah pengundi melihat ‘feedback’ ternyata mereka mahukan perubahan, kehidupan yang lebih baik dan sebagainya.
“Kita perlukan fasiliti untuk anak muda dan penduduk seperti peluang perkerjaan, pembangunan dan sebagainya. Ini perlu adanya hubungan yang baik antara DUN ini dengan Kerajaan Pusat dan Awie yang sebaik-baiknya mewakili kawasan ini,” ujarnya. – UMNO Online