Jangan Kita Terperangkap Mainan Pihak Lawan – SUA BN

GUA MUSANG, 12 Ogos – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap seluruh jentera parti tidak terperangkap dengan mainan pihak lawan sebaliknya terus istiqamah mendekati serta merayu pengundi agar menyatakan sokongan kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani 17 Ogos nanti.

Menurut beliau berbaki beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen, usaha perlu ditingkatkan sebaik mungkin agar BN memperoleh kejayaan kelak.

“Kita jangan terperangkap dengan permainan mereka kerana kalau mereka bermain dengan aspek itu, mereka mahukan supaya kita pun turut menjawab mereka. Kalau kita menampil pendekatan seumpama itu, maka kita akan terperangkap dengan apa yang mereka bawa.

“Akhirnya, kita menghabiskan masa menjawab apa yang mereka mainkan. Dan itu yang mereka nakkan. Jadi, lebih baik kita buat ‘divertion’ daripada apa yang mereka mainkan,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah momentum kempen dan gerak kerja kempen jentera pelbagai peringkat Alhamdulillah berjalan dengan sebaiknya.

“Sejak daripada mula sampai hingga hari ini saya lihat dari segi persiapan kita secara sistematik dan bagaimana gerakan yang kita lakukan begitu baik sekali dan yang paling penting untuk kita memberikan tumpuan sebaiknya pada minggu terakhir.

“Dan itu amat penting dalam usaha memastikan tahap sokongan kepada kita terus meningkat… berdasarkan kepada maklumat yang ada pada hari ini positif dan akan terus ditingkatkan dan juga dikekalkan.

“Momentum itu ditingkatkan dan dikekalkan agar tahap sokongan itu sentiasa berada pada tahap yang baik dan insya Allah BN mencapai kemenangan nanti,” ujarnya.- UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.