UMNO/BN Seru Pengundi Nenggiri Tolak Fitnah, Pilih Calon Berkredibiliti – Jailani Johari

GUA MUSANG, 10 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jailani Johari menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri agar menolak politik fitnah dimainkan oleh pihak pembangkang dan memilih calon yang benar-benar mampu memberi khidmat kepada rakyat.

Ujarnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan calon mereka lebih awal daripada pihak pembangkang.

Jelasnya, tindakan ini telah menyebabkan pembangkang terpaksa menggunakan calon dari Pas walaupun mereka mendakwa calon tersebut berasal dari PPBM.

“UMNO/BN telah memperkenalkan calon lebih awal dari mereka (pembangkang). Jadi, mereka menggunakan bahan tersebut untuk menentang kita apabila mereka tidak mendapat calon dari PPBM dan terpaksa menggunakan calon dari Pas yang kononnya dari PPBM sedangkan ia adalah calon Pas.

“Kita dapat lihat bukti-bukti lain untuk digunakan tapi sebaliknya mereka gunakan fitnah sebagai bahan untuk menghentam UMNO/BN. Sebenarnya Pas tidak ada bahan tapi mereka lebih bersedia menyerang peribadi dengan menggunakan fitnah untuk mendapatkan undi sedangkan kita tidak sebegitu.

“UMNO/BN sudah lebih 60 tahun berada di lapangan dan jelas terbukti memberi khidmat yang terbaik pada rakyat. Sewajarnya pengundi-pengundi di DUN Nenggiri harus manfaatkan peluang yang telah diberikan supaya beri ruang kepada calon BN iaitu Awie untuk memberikan khidmat,” katanya ketika ditemui UMNO Online di RTK Renok Baharu, Nenggiri, di sini.

Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata dengan memilih calon BN, Nenggiri boleh mendapatkan wakil rakyat yang berfungsi sebagai penghubung yang efektif antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Kita mahukan jambatan penghubung antara wakil dari kerajaan negeri kepada kerajaan pusat. Awie dapat berikan khidmat yang terbaik terutamanya bagi masyarakat Nenggiri.

“Kita memerlukan wakil rakyat yang bertindak sebagai ‘check and balance’. Sekarang ini di DUN Kelantan, UMNO hanya mempunyai seorang wakil rakyat dari DUN Galas dan juga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dari DUN Kota Lama,” katanya lagi.

Seterusnya, Jailani turut berharap agar pengundi-pengundi di DUN Nenggiri membuat pilihan yang bijak kerana peluang ini datang hanya sekali.

“Peluang ini datang sekali dan buat yang bijak pada hari mengundi 17 Ogos nanti. Pilihlah orang yang betul-betul boleh berikan khidmat terutamanya untuk masyarakat Nenggiri,” jelas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.