Ahmad Jazlan Tegaskan Dakwaan Pembangkang Jual Kilang Felcra Fitnah

GUA MUSANG, 10 Ogos – Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan dakwaan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang adalah satu fitnah yang keji dan amat besar terhadap beliau.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi FELCRA berkata tidak pernah menjual kilang agensi berkenaan kepada mana-mana pihak termasuk bukan Bumiputera, sebagaimana yang didakwa.

Tegasnya, tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang sengaja hendak mencalarkan reputasinya sebagai Pengerusi FELCRA dan juga Pengarah Operasi Pilihan Raya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Jangan kata saya menjual kilang, satu skru kilang pun saya tidak pernah menjual sepanjang memegang jawatan ini. Susulan fitnah terbabit, saya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Gua Musang dan meminta pihak peguam menghantar notis saman terhadap individu terbabit.

“Penjualan aset yang dimainkan oleh pihak pembangkang sengaja diadakan tetapi ia tidak pernah berlaku dan tidak pernah sampai ke meja saya dan tidak tahu tentang hal ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Temu Mata di RTK Renok Baharu, Nenggiri, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi MARA merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas; Mohd Syahbuddin Hashim serta penduduk di RTK Renok Baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan turut mencabar pimpinan pembangkang supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dakwaan itu benar.

“Saya juga meminta SPRM membuka siasatan sekiranya menerima laporan daripada mereka. Saya tidak takut kerana saya berada dipihak yang benar.

“Saya beri tempoh selama tujuh hari untuk pembangkang buat laporan SPRM. Jika benar saya bersalah, saya sendiri akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi FELCRA,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.