Pilih Awie, Kemenangan Calon BN Bakal Mengubah DUN Nenggiri – Siti Aminah

GUA MUSANG, 9 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Siti Aminah Aching yakin kemenangan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri 17 Ogos akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang bakal mengubah landskap pembangunan khususnya di kawasan tersebut.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Beaufort, pemilihan Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie selaku calon BN pada PRK kali ini merupakan pilihan tepat, seorang pemimpin muda yang berwawasan dan telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin di kawasan tersebut, walaupun belum dinobatkan sebagai wakil rakyat.

“Jika beliau diberikan sokongan dan amanah untuk meniadi wakil rakyat pada PRK kali ini, kita yakin beliau mampu melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya sebagai ADUN dalam menjaga kebajikan dan membawa kemajuan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melakukan program ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jerek dekat sini, kelmarin.

Siti Aminah yakin pengundi di DUN berkenaan akan menzahirkan sokongan masing-masing kepada calon BN, dalam PRK kali ini.

Menurut beliau, sokongan kepada calon BN amat penting untuk memastikan lebih banyak lagi kejayaan akan dicapai serta dinikmati oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya menaruh keyakinan sekiranya BN diberikan mandat lebih banyak pembangunan dapat dibawa oleh Mohd Azmawi memandangkan beliau boleh berhubung terus dengan pemimpin pusat dimana BN merupakan sebahagian dari Kerajaan Perpaduan yang boleh dapat memberikan pelbagai peruntukan pembangunan berbanding dengan kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas,” katanya.

Siti Aminah berkata, dari beberapa keluhan yang didengar di beberapa buah kampung semasa program ziarah tersebut, ternyata rakyat sudah bosan dengan pemerintahan Pas yang hampir 40 tahun di negeri itu tetapi gagal membawa perubahan, maka PRK kali ini merupakan titik tolak untuk mereka melakukan perubahan.

“Rakyat Kelantan khususnya di DUN Nenggiri perlu menggunakan peluang PRK kali ini untuk menebus segala kerugian yang dialami oleh rakyat Kelantan khususnya di DUN Nenggiri.

“Ini adalah ruang dan peluang bagi memberikan sokongan padu kepada calon BN sebagai titik mula kebangkitan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.