Azmawi Praktik Kempen ‘Anok-beranok’, Santuni Dan Selami Hati Pengundi

GUA MUSANG, 9 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani semakin giat menyantuni masyarakat setempat.

Menurutnya, setiap hari akan bertemu pengundi-pengundi di kawasan DUN Nenggiri untuk merayu dan meminta sokongan dari mereka.

“Saban hari menyantuni masyarakat di DUN Nenggiri terutamanya pengundi-pengundi dan merayu dan meminta undi kepada mereka bagi memberi peluang kepada saya untuk menjadi wakil kepada rakyat Nenggiri.

“Alhamdulillah… masyarakat di sini sikapnya penuh dengan sopan santun dan menerima seadanya, cuma paling penting harus mencari kaedah yang terbaik untuk menawan hati pengundi.

“Kempen cara ‘anok-beranok’ ini berkesan kerana ia terus sentuh ke hati pengundi. Dengan kaedah sedemikian kita boleh merasai denyut-denyut nadi dan kemahuan pengundi sendiri terutama di kawasan DUN Nenggiri,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di RPT Sungai Limau, petang tadi.

Terdahulu, Azmawi bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menyantuni dan menziarahi pengundi-pengundi di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) RPT Sungai Limau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri adalah merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.