Awie, Calon BN Nenggiri Disayangi Dan Dikenali Rakyat – Rosni Zahari
GUA MUSANG, 8 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari, menyatakan keyakinan terhadap penerimaan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie.
Jelas beliau, penerimaan pengundi di DUN Nenggiri terhadap calon BN semakin hari sangat positif.
“Saya lihat penerimaan pengundi-pengundi di DUN Nenggiri ini kepada calon BN, Awie sangat positif. Mereka menyatakan bahawa telah lama kenal dan sememangnya calon yang ‘always on the ground’ dan telah pun berkhidmat kepada rakyat DUN Nenggiri selama ini.
“Usaha jentera-jentera pilihan raya dari pelbagai peringkat yang menjaga setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN.
“Saya percaya setiap negeri dan bahagian angkat telah pun menyusun jentera dengan baik dan berdoa agar Awie menang PRK ini dan dapat beliau menabur khidmat kepada pengundi-pengundi di N43 Nenggiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di Kampung Jerek, Nenggiri.
Rosni turut menyatakan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan membantu dalam kempen di Nenggiri.
“Saya percaya dan yakin bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun pergi ke PDM-PDM dan akan membantu di Nenggiri ini,” katanya lagi
Beliau juga menyeru kepada semua pengundi di DUN Nenggiri untuk keluar mengundi pada 17 Ogos nanti.
“Paling penting pengundi-pengundi harus mengundi calon BN pada 17 Ogos nanti. Setiap undi adalah penting untuk memastikan kemenangan calon yang mampu membawa perubahan positif kepada kawasan ini,” ujarnya.
Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri adalah merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online