Apa Matlamat Pilih Wakil Rakyat… Awie Ada Pakej Lengkap Untuk DUN Nenggiri – Jalaluddin
GUA MUSANG, 7 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias percaya dan penuh yakin kombinasi dan gerak kerja berpasukan jentera Barisan Nasional (BN) pelbagai peringkat khususnya bersama jentera tempatan akan membuahkan hasil dan sekaligus membawa kemenangan kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos depan.
Apatah lagi kata beliau calon yang diketengahkan oleh BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali Awie mempunyai pakej yang tersendiri untuk diamanahkan oleh masyarakat setempat sebagai wakil rakyat mereka.
“Kita tengok juga calon yang diletakkan, diberikan mandat oleh BN saudara Azmawi ataupun orang-orang sini panggil Awie adalah calon yang terbaik, malah saya tengok calon ini bertenaga, calon muda, berwibawa dan saya yakin beliau mampu menjadi wakil rakyat terbaik.
“Malah hasil daripada perbualan jentera tempatan dalam program kita di sini bersama masyarakat setempat memperlihatkan mereka seolah-olah akan buat satu keputusan yang luar biasa pada 17 Ogos nanti.
“Ini kerana saya yakin keputusan yang mereka buat ini adalah untuk masa depan mereka. Bagi golongan belia mereka harapkan satu perubahan yang luar biasa mesti berlaku di DUN ini selepas 17 Ogos nanti,” katanya kepada UMNO-Online.
Terdahulu beliau beramah mesra bersama masyarakat setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Limau Kasturi, di sini, malam tadi.
Terdahulu pada sebelah petang beliau bersama jentera Negeri Sembilan dan tempatan melakukan ziarah mesra bersama masyarakat di kawasan terbabit.
Jalaluddin seterusnya menambah apa yang diinginkan oleh masyarakat setempat terhadap seseorang wakil rakyat adalah mereka yang mampu memberikan khidmat sebaiknya.
“Saya selalu sebut dalam apa juga bentuk kempen dan perjumpaan saya ialah apa yang kita mahu daripada seorang wakil rakyat. Apakah kita mahu letakkan wakil rakyat ni gelaran yang berhormat tanpa apa-apa manfaat kepada rakyat ataupun kita nak letakkan wakil rakyat ini setakat memenuhi keperluan kerajaan yang ada.
“Ataupun kita mahukan wakil rakyat yang boleh membela rakyat, membantu rakyat, memperjuangkan masa depan dan masyarakat di DUN Nenggiri ini dan kalau ini dapat kita fahamkan, dapat kita terapkan supaya dapat dijiwai oleh para pengundi maka saya yakin kali ini perubahan besar dan keputusan yang luar biasa akan berlaku pada 17 Ogos nanti,” ujarnya. – UMNO Online