Ahmad Maslan Optimis Kemenangan BN Di PRK Nenggiri, Azmawi Calon Tepat

GUA MUSANG, 6 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan optimis dengan peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Menurutnya, banyak permintaan rakyat telah ditunaikan sebelum penamaan calon, menunjukkan keprihatinan kerajaan pusat terhadap kehendak penduduk tempatan.

“Saya melihat beberapa perkara permohonan rakyat dapat diselesaikan sebelum penamaan calon. Kebanyakan kehendak rakyat merupakan dari agensi pusat dan ‘responsive’ dengan rakyat Nenggiri.

“Pemilihan calon yang caca marba dari pihak sana yang sepatutnya dari pihak Bersatu, bukannya individu yang baru masuk jadi ahli Bersatu dan ini menyebabkan penyokong mereka tidak menyetujui,” katanya kepada pemberita di Pusat Media, Jabatan Penerangan Malaysia, Sungai Asap, Nenggiri. 

Mengulas lanjut beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menyifatkan pemilihan calon dari parti lawan sebagai tidak konsisten.

“Calon Bersatu adalah individu yang baru menyertai parti tersebut, yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong setia parti itu.

“Sebaliknya, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, telah lama berkhidmat kepada masyarakat. Beliau pernah berkhidmat selama 13 tahun bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Nenggiri, Abdul Aziz Yusof, yang memberikan beliau pengalaman luas dalam politik tempatan.

“Azmawi telah menunjukkan dedikasinya dengan memberikan perkhidmatan yang berterusan kepada penduduk Nenggiri, berbanding calon Bersatu yang baru tiba di sini.”

Ini, menurut Ahmad Maslan, membuktikan bahawa Azmawi memahami keperluan masyarakat dan mampu menangani isu-isu yang dihadapi mereka.

Ketua UMNO Bahagian Pontian itu menyatakan bahawa kelebihan calon BN bukan sahaja kerana pengalamannya tetapi juga kerana beliau sudah dikenali ramai di kalangan penduduk setempat yang menjadikan Azmawi lebih dipercayai oleh masyarakat Nenggiri.

“Dengan rekod perkhidmatan yang konsisten, Azmawi dianggap sebagai calon yang mampu membawa perubahan positif kepada kawasan tersebut,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.