Pilih BN… Calon PN Sanggup Tinggalkan ‘Parti Syurga’ Untuk Masuk PPBM – Noraini

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempersoal tindakan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail yang bertindak keluar daripada Pas untuk menjadi ahli PPBM dan seterusnya menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Katanya ini kerana, kepimpinan Pas seringkali memainkan sentimen bahawa memilih parti tersebut sebagai jalan ke syurga, namun tindakan Mohd Rizwadi yang keluar daripada parti itu menimbulkan persoalan.

“Belum apa-apa lagi kita tengok calon yang lagi satu tu pun dah berpusing dah, kenapa saya cakap macam tu? Kerana selama ini ahli Pas kata parti itu jalan ke syurga.

“… tapi dia sanggup meninggalkan syurga tu masuk pula PPBM dan jentera yang ada membantu dia adalah jentera Pas. Dia boleh berpusing depan dan pusing belakang (lompat parti),” katanya.

Noraini berkata demikian pada Kursus Penerangan Media Digital Wanita UMNO Malaysia yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said serta kepimpinan Wanita Pusat dan negeri.

Beliau dalam pada itu menyifatkan PRK ini amat penting kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi merampas kembali daripada kerusi tersebut daripada PN.

Noraini juga mengajak jentera Wanita seluruh negara untuk memanfaatkan media sosial untuk menampilkan kelebihan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Banyak perkara yang kita boleh laksanakan di Nenggiri ini nak menang macam-macam yang kita boleh laksanakan walaupun tidak berada di sana tetapi sekarang ni dengan sosial media boleh kita sama-sama laksanakannya.

“Saya lihat Azmawi ini baik sangat kalau jumpa orang sangat berbudi bahasa memang rugi kalau pengundi Nenggiri tidak mengundi Azmawi ini sebagai wakil rakyat mereka. Jadinya apa peranan kita semua yang berada di sini? Kita lawan sebab kena menang di Nenggiri ini itu maruah UMNO/BN.

“Kita telah tambah gerak kerja menggunakan sistem online dan juga secara manual yang dilaksanakan oleh wanita tempatan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.