PRK Nenggiri: Konsep ‘Anak Beranak’ dan Kempen Kekeluargaan – Asyraf Wajdi

GUA MUSANG, 5 Ogos – Kembalinya ahli-ahli Bersatu memberikan suntikan semangat baru kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, perubahan ini dipercayai berlaku apabila UMNO/BN mengambil pendekatan yang lebih mesra dan inklusif dalam mendekati ahli-ahli yang telah meninggalkan mereka.

Jelasnya, dengan menggunakan tangan persahabatan dan kempen yang berkonsepkan ‘anak beranak’ atau kempen kekeluargaan maka UMNO/BN berjaya menanam semula rasa kesatuan di kalangan mereka yang telah berpecah.

“Kita melihat kecenderungan ahli Bersatu kembali pada UMNO/BN yang dahulunya mereka keluar menyertai Pas dan Bersatu. Apabila mendekati mereka dan menggunakan tangan persahabatan dan kempen yang digunakan dengan konsep ‘anak beranak’ ataupun kempen kekeluargaan.

“Saya melihat cahaya-cahaya perubahan itu jelas. Ramai ahli Bersatu kecewa dengan parti mereka, terutama disebabkan tindakan Pas yang dianggap sebagai ‘silap mata’.

“Saya melihat momentum kempen PRK DUN Nenggiri terutamanya jentera UMNO/BN semakin bersemangat. Penerimaan penduduk di sini cukup baik terutamanya kampung-kampung tradisi yang dahulunya BN kalah.”

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perlawanan bola sepak bersama komuniti bola Kampung Jerek, petang semalam. 

Asyraf yang juga Pengerusi MARA berkata pendekatan UMNO/BN dalam kempen ini berbeza dengan parti lawan.

 

“UMNO/BN menekankan adab dan akhlak, dengan mengelakkan sebarang bentuk fitnah, tohmahan, atau tindakan menjatuhkan maruah pihak lawan. Calon BN yang diketengahkan adalah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang sudah lama dikenali dan berkhidmat untuk masyarakat setempat.

“Kempen ini memanfaatkan ikatan kekeluargaan yang kuat di kalangan pengundi. UMNO/BN tidak mengambil pendekatan mengeji atau mengutuk pihak lawan. Sebaliknya, menekankan kepentingan adab dan akhlak dalam berkempen,” jelas beliau.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, BN mempertaruhkan calon muda Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bagi merampas semula kerusi tradisi milik parti itu yang beralih tangan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.