PRK Nenggiri: Pilihan Terbaik Untuk Perubahan Positif – Azmawi Fikri
GUA MUSANG, 4 Ogos – Dalam suasana politik yang semakin kompetitif, setiap calon memiliki kelebihan dan kekuatan masing-masing dalam usaha menawan hati pengundi, kata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Menurut beliau kombinasi pelbagai pihak termasuklah bersama jentera kempen dan sebagainya diharap dapat membantu kemenangan BN kelak.
Jelasnya, paling penting meyakinkan pengundi bahawa BN adalah pilihan terbaik untuk membawa perubahan positif dan menyelesaikan segala permasalahan rakyat Nenggiri.
“Masing-masing ada kelebihan untuk menawan hati pengundi cumanya kita hendak mencari cara menawan hati pengundi. Yang paling penting adalah bagaimana dapat meyakinkan pengundi bahawa adalah pilihan terbaik untuk membawa perubahan positif dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
“Saya ada jentera di peringkat pusat, pencabar pun ada jentera di peringkat negeri, semuanya ada jentera. Paling penting pengundi boleh menerima atau tidak.
“Rakyat Nenggiri mahukan wakil rakyat yang sentiasa turun padang dan sentiasa berada bersama mereka. Kuasa di tangan rakyat, jika kita dipilih tapi tidak berkhidmat untuk rakyat maka lima tahun akan datang kita akan ditolak,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Seterusnya kata Azmawi lagi, projek empangan menerusi Hidroelektrik Nenggiri dan juga projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) sudah pasti akan diberikan tumpuan.
“Dengan terbinanya projek yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini ianya akan turut memberikan limpahan ekonomi pada generasi baharu dan juga generasi yang sedia ada.
“Projek empangan Nenggiri ini adalah besar dan memberi impak kepada penduduk di sekitarnya. Apabila empangan ini sudah semestinya akan beri ruang perkerjaan kepada penduduk di sini serta menambahkan ekonomi tempatan.
“Ia perlu dirancang dengan teliti agar limpahan ini dapat dimanfaat oleh rakyat Nenggiri manakala Nenggiri ini berada di jajaran laluan CSR iaitu di Renok Baharu dan Sungai Asap,” katanya lagi.
Terdahulu, Azmawi telah menyantuni pengundi-pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Limau Kasturi, Kampung Pasir Tumbuh dan Kuala Sungai di sini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Pas.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada Pas merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail. – UMNO Online