PRK Nenggiri: Jentera Terus Kerja Kuat, Pastikan BN Merampas Kembali – Azmawi Fikri
GUA MUSANG, 3 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mengajak jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) terus berkerja keras serta menggembleng tenaga memastikan kemenangan milik parti.
Menurutnya, dengan kemenangan Nenggiri sekaligus merampas kembali DUN dan membuktikan maruah UMNO/BN terus bersinar.
“Marilah bersama-sama kita berkerja bukan untuk saya sahaja. Kita berkerja memastikan N43 Nenggiri menjadi milik UMNO/BN. Kita memastikan dapat merampas kembali daripada tangan parti Pas. Ini adalah maruah parti kita.
“Bermula hari ini hingga 17 Ogos nanti, kita bersama-sama merayu memenangi hati pengundi-pengundi di N43 Nenggiri. Insya-Allah… dengan izin Allah kejayaan pasti milik UMNO/BN,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat Bukit Cekati, di sini.
Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Pengarah Operasi Pilihan Raya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan UMNO/BN dan jentera-jentera pilihan raya.
UMNO/BN mempertaruhkan calon muda itu bagi merampas semula kerusi tradisi milik parti itu yang beralih tangan kepada PPBM pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan satu lawan satu yang terdiri daripada Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (calon nombor dua) dengan calon Mohd Rizwadi Ismail (calon nombor satu) bagi merebut kerusi DUN Nenggiri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu hari ini diikuti pengundian pada 17 Ogos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online