PRK Nenggiri: Seluruh Ahli MKT Berkampung, Selaras Gerak Kerja Jentera

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan agar seluruh ahlinya berkampung sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk menyelaraskan gerak kerja para jentera.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyelarasan gerak kerja tersebut akan dilakukan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada PRK kali ini.

“Mesyuarat telah memutuskan agar seluruh Ahli MKT UMNO untuk berkampung dan menyelaras gerak kerja jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) di setiap PDM DUN Nenggiri dalam PRK yang akan bermula dengan penamaan calon pada 3 Ogos 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, malam ini.

Dalam pada itu, Dr Asyraf turut memaklumkan bahawa mesyuarat telah bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang dalam menuntut pampasan dan ganti rugi terhadap wakil rakyat yang telah bertindak meninggalkan parti.

“Mesyuarat juga telah mempertimbangkan dan bersetuju untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi serta pampasan sebanyak RM100 juta sebagaimana perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang telah meninggalkan dan membelakangi pendirian parti,” katanya.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang diisytiharkan hilang keahlian PPBM pada 13 Jun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal 13 Ogos dan pengundian 17 Ogos.

Dengan itu, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 16 Ogos. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.