PRK Nenggiri: Azmawi Fahami Aspirasi Rakyat – Fariz Hazurin
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Calon yang diketengahkan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, seorang anak muda yang bersemangat tinggi, memiliki wawasan yang jelas, berpengalaman dalam kepimpinan serta memahami aspirasi setempat, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail.
Menurutnya, pemilihan Azmawi sebagai calon bukan sahaja berdasarkan kelayakan akademik dan pengalamannya, tetapi juga kerana sifat kepimpinan yang dimilikinya.
“Beliau (Azmawi) dikenali sebagai seorang yang sentiasa bersedia mendengar dan bertindak atas keperluan rakyat. Ini adalah ciri-ciri yang sangat penting untuk seorang wakil rakyat.
“Dengan mempertaruhkan Azmawi sebagai calon, peluang BN untuk merampas kembali DUN Nenggiri adalah cerah. Ini kerana bukan sahaja mempunyai latar belakang yang kukuh dalam politik dan menguruskan pemuda UMNO, tetapi juga sentiasa berada dekat dengan rakyat dan memahami keperluan serta isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.
“Pengalaman sebagai Ketua Pemuda UMNO Kelantan membuktikan keupayaannya dalam memimpin dan membawa perubahan yang cukup positif. Beliau juga telah banyak terlibat dalam program-program pembangunan masyarakat yang memberi manfaat besar kepada penduduk setempat. Ini menunjukkan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.
Fariz yang juga Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Subang yakin bahawa UMNO/BN dapat memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Nenggiri terus dipertingkatkan.
“Saya percaya bahawa UMNO/BN dapat mencapai matlamat memastikan pembangunan dan keharmonian rakyat Nenggiri. Azmawi membawa harapan baru dan semangat untuk memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Nenggiri.
“Kami yakin dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, ia mampu merealisasikan visi pembangunan yang holistik dan inklusif serta dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Fokus utama memastikan bahawa setiap individu di Nenggiri dapat merasakan perubahan positif dalam kehidupan mereka melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan,” katanya lagi.
Oleh itu, Fariz menyeru kepada semua pengundi di Nenggiri untuk memberikan sokongan penuh kepada Azmawi dalam pilihan raya ini.
“Marilah sama-sama memastikan kemenangan UMNO/BN serta membawa Nenggiri ke arah yang lebih maju dan makmur. Dengan sokongan dan kerjasama semua, insya-Allah… UMNO/BN akan berjaya.
“Dengan semangat kerjasama dan semangat perpaduan, mampu mencipta masa depan yang lebih cerah dan gemilang untuk Nenggiri. Semoga Allah SWT memberkati dan mempermudahkan segala usaha kita,” ujarnya. – UMNO Online