PRK Nenggiri: BN-PH Sepakat Selaras Kerjasama Dari Pelbagai Sudut

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah bersepakat untuk menyelaraskan kerjasama dari pelbagai sudut khususnya untuk menggerakkan para jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan (DUN) Nenggiri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) dan beberapa siri PRK yang telah dilalui oleh Kerajaan Perpaduan sedikit sebanyak membantu menguatkan kesefahaman antara jentera dua parti tersebut.

“Mesyuarat ini adalah susulan daripada Mesyuarat Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan melibatkan pimpinan tertinggi BN dan PH yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun lalu. Beliau telah mengarahkan supaya mesyuarat penyelarasan diadakan khususnya melibatkan operasi jentera BN-PH untuk menghadapi PRK Nenggiri.

“Kita telah bersepakat untuk menyelaraskan kerjasama ini dari pelbagai sudut khususnya untuk menggerakkan jentera seluruh BN-PH bukan sahaja daripada bahagian-bahagian dan juga cabang-cabang di Negeri Kelantan, tetapi juga daripada negeri-negeri lain.

“Ini kerana kita melihat PRK Nenggiri ini adalah penting dan kita meneruskan kerjasama yang padu seperti yang ditunjukkan dalam siri-siri pilihan raya lalu. Kita merasakan kita dah sampai ke tahap kematangan kerana pengalaman dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan siri-siri PRK bermula daripada Tioman sehinggalah ke Sungai Bakap, sedikit sebanyak membantu dalam menguatkan lagi kesefahaman di antara dua jentera utama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di PRK Nenggiri ini bergantung sepenuhnya kepada kerja kuat jentera untuk meraih sokongan pengundi.

“Justeru, kita melihat bahawa untuk menang di Nenggiri ini bergantung kepada kerja kuat kedua-dua jentera dalam meraih sokongan dan dukungan daripada pengundi-pengundi yang mempunyai latar belakang serta demografi yang berbagai termasuk kampung tradisi, FELDA di bawah Wilayah Kelantan (KESEDAR).

“Antara yang paling penting juga adalah kawasan orang asli sebab itulah kekuatan yang ada pada BN-PH kerana kedua-dua parti ini mempunyai pengaruh yang besar. Dahulunya apabila kami tidak bersama, undi tersebut pecah. Tetapi kita harapkan kali ini dengan kesepaduan yang ada, kita dapat sokongan penuh daripada pengundi-pengundi termasuk daripada kalangan orang asli,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya BN bagi DUN Nenggiri, Datuk Jazlan Yaakub berkata, kesepakatan dan keserasian antara dua parti membentuk Kerajaan Perpaduan ini mampu menambah jumlah majoriti kemenangan calon BN di PRK ini.

“Apa yang dapat kita lihat kesepakatan dan keserasian antara dua komponen yang terbesar ini langsung tidak mendatangkan masalah setakat ini bukan sahaja di peringkat pusat bahkan di peringkat negeri. Kita gabungkan kekuatan yang ada pada kita seterusnya di peringkat akar umbi iaitu di pusat daerah mengundi (PDM).

“Kita sedar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN lalu terdapat perbezaan undi yang diperolehi BN samada di peringkat Parlimen mahupun DUN. Sebagai contoh di kawasan orang asli, kita mendapat lebih undi di lima PDM kerana kesepakatan dan kebersamaan kita sewaktu PRN. Kita merasakan bahawa kita mampu menambah jumlah majoriti kerana sebelum ini ada di kalangan mereka yang tidak keluar mengundi dan akan kita gerakkan seluruh jentera.

“Insya-Allah saya cukup yakin dan percaya dengan permuafakatan yang kita terjemahkan di PRK Nenggiri ini akan memperlihatkan bahawasanya gabungan Kerajaan Perpaduan lebih mantap. Pengundi-pengundi yang menyokong BN dan Kerajaan Perpaduan ini mempunyai satu matlamat iaitu memberi kemenangan kepada calon BN mewakili Kerajaan Perpaduan, selari dengan kerajaan persekutuan,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.