Susun Gerak Kerja Sebaiknya, BN Mampu Rampas Kembali Kerusi DUN Nenggiri – Mohamad
KOTA TINGGI, 16 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO dan BN perlu menyusun gerak kerja sebaiknya untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ujar Timbalan Presiden UMNO itu, secara tradisinya kerusi DUN Nenggiri dan Parlimen Gua Musang merupakan kawasan milik BN.
“Saya yakin jika diurus dengan baik kerana kawasan Gua Musang Parlimennya dan Nenggiri ini tradisinya UMNO dan Barisan Nasional. Apa jua boleh berlaku terutamanya dalam Pilihan Raya Kecil tetapi UMNO, Barisan Nasional perlu berusaha untuk pastikan kerusi dapat dikembalikan, dirampas semula.
“Dan gerak kerja perlu disusun dengan baik dan penerangan perlu dilakukan tentang isu-isu semasa kepada pengundi-pengundi supaya mereka faham keadaan sebenar dan tidak terus diputar belitkan isu-isu dan mempengaruhi minda mereka,” katanya dalam satu segmen ‘Yok Borak Jap’ di reruai Penerangan UMNO Bahagian Kota Tinggi di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Mohamad merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Muszaide Makmor dan wakil Penyelaras Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor daripada UMNO Bahagian Mersing.
Dilaporkan sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PPBM mengenai keahlian ADUN Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada PPBM.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada minggu lalu berkata Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan telah bersetuju untuk meletakkan calon BN sebagai wakil pada PRK DUN Nenggiri.
Selanjutnya, dalam temu bual tersebut Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri turut menitipkan pesanan buat UMNO Bahagian Kota Tinggi agar terus mengekalkan kawasan tersebut kawasan tradisi buat UMNO dan BN.
Mohamad juga berharap agar Penerangan UMNO Bahagian Kota Tinggi terus bergiat aktif dalam menyampaikan maklumat sebenar agar rakyat dan pengundi khususnya mendapat info yang tepat bagi menyanggah cerita-cerita yang sering diputarbelitkan oleh pihak lawan. – UMNO ONLINE